BEG makanan turut dihantar ke kampung Orang Asli berikutan kerosakan teruk jalan darat. FOTO RAMLI IBRAHIM
BEG makanan turut dihantar ke kampung Orang Asli berikutan kerosakan teruk jalan darat. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Bagi memastikan tiada pelajar ketinggalan dalam menimba ilmu, Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini membawa keluar tujuh pelajar Orang Asli yang terperangkap di Pos Lalok dan Sau hari ini.

Mereka adalah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra 1, Gua Musang yang terkandas akibat jalan perhubungan ke kampung mereka rosak teruk.

Pengarah Unit Udara JBPM, Nazili Mahmood berkata, mereka sepatutnya memulakan sesi pengajian di sekolah menengah itu sejak dua minggu lalu.

Namun, katanya, kejadian banjir baru-baru ini menyebabkan jalan perhubungan dari kampung ke sekolah rosak teruk dan tidak boleh dilalui kenderaan.

"Kami menerima laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) berhubung perkara itu dan segera mengatur jadual penerbangan hari ini.

"Pelajar Orang Asli ini bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan perlu di keutamaan bagi mengatasi masalah perhubungan itu.

"Disamping itu, kita juga melakukan penerbangan ihsan bagi menyelamat tiga wanita Orang Asli yang hendak bersalin dan dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM)," katanya.

Penerbangan ihsan itu menggunakan dua helikopter iaitu Agusta Westland 189 dan Agusta Westland 139 berlepas dari Pangkalan Subang pada 9 pagi.

Nazili berkata, khidmat penerbangan ihsan membabitkan dua helikopter itu turut membantu menghantar 11 metrik tan makanan kepada penduduk Orang Asli.

Katanya, ia membabitkan enam pos termasuk Pos Bihai, Lalok, Sau, Belatim dan Pos Sempadik kerana pos berkenaan terputus hubungan jalan darat.

"Ops menghantar bakul makanan Orang Asli di pedalaman Gua Musang kerana monsun yang berlaku baru-baru ini menyebabkan mereka terputus makanan.

"Bakul makanan itu tidak boleh dihantar dengan kenderaan jalan darat yang memerlukan masa dan bahaya melalui jalan rosak teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 2:24 PM