Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Polis meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian sebuah kereta memandu secara melawan arus bagi mengelak melalui sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 2.5 Lebuhraya Lingkaran Luar (LLB) dekat Perai, di sini tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai satu video tular memaparkan insiden sebuah kereta berwarna hitam yang modelnya belum dikenal pasti dilihat memandu melawan arus.

"Dalam video berdurasi 25 saat yang dirakamkan seorang pemandu kenderaan menunjukkan kereta jenis dan model tidak pasti berwarna hitam memandu secara melawan arus dengan tidak menyatakan tempat dan masa.

"Bagaimanapun, siasatan mendapati kemungkinan kejadian itu berlaku di KM2.5 LLB arah Perai kerana terdapat SJR Op Covid di KM2.0 LLB yang mana pemandu dipercayai membuat pusingan-U untuk elak dari melalui SJR terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, setakat kini polis tidak menerima sebarang laporan daripada perakam video atau mana-mana individu berhubung kejadian itu.

"Kita akan membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) dan meminta orang awam yang menyaksikan kejadian dapat tampil membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 3:20 PM
TANGKAP layar video tular. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar video tular. FOTO Ihsan Pembaca