X
Mohd Ajib Ismail. FOTO Arkib NSTP
Mohd Ajib Ismail. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan menganjurkan beberapa program sempena Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari ini.

Ia turut membabitkan penyertaan masjid dan institusi pendidikan Islam di bawah seliaan jabatan berkenaan.

Pengarah Jawi Mohd Ajib Ismail berkata, antara program akan dijalankan seperti Yasin Hour secara dalam talian serentak membabitkan semua institusi pendidikan Islam di bawah seliaan Jawi esok pada 9 pagi dan 3 petang.

Menurutnya, Program Wilayah Persekutuan Bermunajat diadakan secara serentak di semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan pada Sabtu selepas solat Maghrib secara dalam talian serta disiarkan secara langsung melalui akaun Facebook (FB) rasmi Jawi dari Masjid Wilayah Persekutuan.

"Forum Perdana Ehwal Islam secara dalam talian diadakan Ahad ini pada 9 malam dengan tajuk 'Masyarakat Cakna, Wilayah Sejahtera', juga disiarkan melalui FB.

"Kita juga adakan Forum Perdana Ehwal Islam di lapan masjid selama lapan hari berturut-turut di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 1 Februari hingga 8 Februari ini 9 malam secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Ajib berkata, khutbah Jumaat Khas bertemakan 'Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin' yang akan dibacakan di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan pada 5 Februari ini.

Menurutnya, pihaknya mengalu-alukan penyertaan masyarakat Islam terutamanya di Wilayah Persekutuan di dalam semua program yang dianjurkan secara dalam talian selaras dengan norma baharu.

"Marilah kita semua terus berdoa dan bermunajat agar Allah SWT mengurniakan kesejahteraan serta memelihara warga Wilayah Persekutuan dan negara Malaysia amnya dari segala bencana dan wabak yang melanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 4:09 PM