X
SUASANA lengang di kawasan tumpuan pelancong di sekitar Bangunan Merah, Bandar Hilir, Melaka, 22 Jan lalu, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan penularan Covid-19. FOTO Iqmal Haqim Rosman
SUASANA lengang di kawasan tumpuan pelancong di sekitar Bangunan Merah, Bandar Hilir, Melaka, 22 Jan lalu, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan penularan Covid-19. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Sebanyak 1,352 syarikat pelancongan berdaftar mendapat manfaat daripada pengecualian bayaran fi pembaharuan lesen membabitkan nilai berjumlah RM1.4 juta.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif berkenaan sebahagian daripada bantuan diberikan kepada agensi pelancongan yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.

"Setakat 31 Disember lalu, jumlah syarikat dikecualikan bayaran fi lesen ialah 1,352 syarikat membabitkan fi lesen bernilai RM1,407,220.

"Sebanyak 721 kes diberikan pengurangan kompaun bernilai RM118,000 sehingga 31 Disember lalu," katanya dalam satu kenyataan media kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya turut memberikan kelonggaran syarat bagi syarikat pengendali pelancongan berlesen di bawah MOTAC.

"Ini termasuk kelonggaran keluasan premis serta kebenaran menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan yang berlesen dari 18 Mac tahun lalu sehingga 30 Jun ini.

"Penutupan sementara lesen cawangan bagi syarikat pengusaha pelancongan dari 1 November tahun lalu hingga 31 Disember ini bagi syarikat pengusaha pelancongan yang berminat.

"Bagi syarat berpersatuan dalam pembaharuan lesen pula, MOTAC masih mengekalkannya dalam syarat pembaharuan lesen," katanya.

Beliau berkata, kursus yang dilaksanakan di bawah penyeliaan MOTAC sebagai memenuhi syarat lesen masih dilaksanakan dalam konsep 'reskilling dan upskilling' kepada pihak industri pelancongan seperti Domestic Tourism Vibes, kerjasama dengan Shopee dan sebagainya dalam usaha membantu penggiat industri.

"MOTAC dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji mana-mana peraturan dan syarat berkaitan dengan aktiviti pelesenan sedia ada dan akan mengenalpasti inisiatif berkaitan bagi membantu meringankan beban ditanggung pengusaha pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19," katanya.

Mei lalu, kerajaan mengumumkan pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula 17 Mac hingga 31 Disember lalu sebelum dilanjutkan lagi bagi permohonan pembaharuan lesen bermula dari 1 Januari hingga 30 Jun ini.

Inisiatif lain adalah pemberian diskaun dan perlanjutan pembayaran kompaun serta pengecualian kompaun kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang gagal memperbaharui lesen dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 4:23 PM