GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) mencadangkan agar pihak berkuasa dapat mengurangkan kos ujian saringan Covid-19 dalam langkah membendung peningkatan kluster membabitkan tempat kerja.

Presiden PKPB Datuk Azman Yusoff berkata, kewujudan kluster ini sudah diduga tatkala keadaan sedia ada di tapak pembinaan dan penempatan pekerja menjadikan golongan itu mudah dijangkiti.

Menurutnya, walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sedang dilaksanakan namun penguatkuasaan masih lemah dan kekangan kewangan majikan menjadi sebab tindakan awal seperti ujian saringan Covid-19 dan kuarantin diri di peringkat awal tidak dapat dilaksanakan.

"Wujudlah kluster pembinaan sama seperti kluster pekerja kilang dan perkara sama berlaku di Singapura dan pihak berkuasa di sana mewajibkan semua pekerja diuji dan melaksanakan kawalan kendiri lebih ketat, penjagaan kesihatan serta kebersihan di asrama pekerja menjadi kriteria utama.

"Bagi mengelak kluster ini terus berlarutan kami mencadangkan supaya semua pekerja diwajibkan membuat ujian saringan Covid-19.

"Selain itu, pihak seperti Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dapat membantu mengurangkan kos ujian saringan yang masih mahal kerana ada syarikat yang tidak mampu berikutan jumlah pekerja yang besar," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, pihak majikan juga perlu memastikan penempatan pekerja dikawal selia sebaik mungkin terutama dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau petugas kesihatan swasta.

Katanya, keadaan pusat penempatan pekerja yang disediakan perlu dipastikan lebih kondusif, bersih dan terkawal.

"Semua kos cadangan ini boleh diperhalusi dan dibincangkan bersama. Majikan syarikat pembinaan sudah mengikut SOP yang disyaratkan seperti penjarakan fizikal, menggunakan pembasmi kuman, pelitup muka dan pelbagai lagi.

"Cuma kerisauan kita adalah pekerja asing dan juga bahagian lain yang bekerja (bergerak) dari satu tapak ke tapak lain yang tidak dikawal dengan baik," katanya.

Beliau berkata, syarikat perlu tahu pergerakan atau mengawal pergerakan pekerja yang bekerja lebih dari satu tapak supaya mudah dipantau terutama mereka yang mempunyai gejala jangkitan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan penularan Covid-19 di tempat kerja menjadi penyumbang tertinggi kluster baharu yang merekodkan 15 daripada 17 kluster.

Antara negeri yang mencatatkan kluster berkaitan tempat kerja paling banyak adalah Johor iaitu enam kluster membabitkan Kluster Parit Lanjut, Industri Grisek, Jalan Trus, Jalan Medini, Tengah Tiga dan Pengerang Utara.

Berdasarkan rekod KKM, jumlah kes baharu berkaitan kluster tempat kerja itu menyumbang 978 kes daripada 3,680 kes baharu setakat semalam, manakala kes baharu kluster komuniti pula menyumbang 10 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 5:43 PM