DR JACOB THOMAS
DR JACOB THOMAS
BERNAMA

Kuala Lumpur: Fasiliti kesihatan di hospital swasta kini bersedia menerima sejumlah pesakit Covid-19 bagi membantu mengurangkan kesesakan yang kini mula memenuhi fasiliti kesihatan kerajaan.

Pengerusi Nexus Penjagaan Kesihatan Swasta (PHPN) Datuk Dr Jacob Thomas berkata hospital swasta menyediakan sebanyak 71 unit ventilator kepada hospital kerajaan di seluruh negara ketika kes yang direkodkan di Unit Rawatan Intensif (ICU) dan Unit Rawatan Koronari (CCU) mula menunjukkan penurunan dan ia disahkan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) Datuk Dr Kuljit Singh baru-baru ini.

Menurut Dr Jacob, penyedia kesihatan swasta sentiasa menyokong arahan dan usaha kerajaan dalam menangani apa sahaja situasi berkaitan penjagaan kesihatan di Malaysia, lebih-lebih lagi ketika negara diuji dengan peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

"Selain itu, terdapat juga pesakit bukan Covid-19 yang dipindahkan ke hospital swasta contohnya pesakit yang perlu menjalani ujian dialisis dan pembedahan. Ini bagi mengurangkan risiko jangkitan dan membantu meningkatkan lagi kapasiti wad dan katil di hospital kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada 28 Januari lalu berkata penglibatan hospital swasta untuk menguruskan pesakit Covid-19 adalah antara langkah yang diambil kementerian bagi menangani peningkatan kes.

Sementara itu, Dr Jacob berkata, antara langkah yang diambil PHPN dalam membantu kerajaan termasuk menyediakan pusat saringan di hospital swasta serta ujian calitan kepada pekerja asing dan setakat ini sebanyak 130 fasiliti swasta menyediakan pusat saringan Covid-19.

"PHPN juga mengambil langkah lebih awal semasa negara dilanda wabak ini dengan mewujudkan model 'Public-Private Partnership' (PPP) untuk merangsang penglibatan pihak swasta dan menambah baik mutu perkhidmatan kesihatan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Jelasnya, melalui perubahan yang sistematik dan holistik, hospital swasta mampu memaksimumkan sumber daripada pelbagai sudut seperti peralatan, teknologi, kepakaran dan penjagaan pesakit.

"Semua ini, dapat menyumbang kepada peningkatan produktiviti di hospital kerajaan dengan para barisan hadapan kini berdepan tekanan fizikal dan mental dalam mendepani situasi yang sangat mencabar ini," katanya.

PHPN merupakan inisiatif peningkatan produktiviti yang diterajui oleh sektor swasta dan disokong Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 11:32 AM