GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Melaka: Polis merekodkan tujuh kes dengan nilai kerugian RM165,500 pada tahun lalu membabitkan penipuan untuk membebaskan tahanan dalam lokap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, sejak Januari hingga semalam pula, sebanyak tiga kes sama direkodkan membabitkan kerugian sebanyak RM44,000.

Beliau berkata, kes terbaru membabitkan suri rumah berlaku semalam, menyebabkan mangsa mengalami kerugian RM9,000 akibat tertipu dengan panggilan telefon oleh seorang individu yang menyamar sebagai 'Sarjan Hairol', bagi membebaskan suaminya dari tahanan lokap yang ditahan atas kesalahan memiliki rokok yang tidak mendapat pengesahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Suspek mendakwa dirinya adalah pegawai penyiasat bagi kes itu dan kemudian menawarkan kepada mangsa berusia 26 tahun itu untuk membebaskan suaminya yang berada di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin tanpa dikenakan apa-apa tindakan, namun perlu membuat bayaran.

"Mangsa bersetuju dan membuat transaksi berjumlah RM9,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek dan selepas bayaran dilakukan, wanita itu menunggu suaminya di IPD berkenaan namun mendapati suaminya masih tidak dibebaskan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sundra Rajan berkata, mangsa bertanyakan hal itu kepada anggota di situ, namun dimaklumkan dirinya ditipu dan kemudian dia menghubungi semula 'Sarjan Hairol' tetapi panggilan disekat.

"Hasil semakan polis mendapati memang benar suami mangsa ditahan di lokap IPD Tampin atas kesalahan itu. Mangsa membuat laporan di Balai Polis Pulau Sebang, Alor Gajah dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu," katanya.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak percaya dengan individu yang menyamar sebagai polis dan menawarkan untuk membebaskan mana-mana tahanan lokap dan disaran menyemak nombor telefon yang diragui di aplikasi 'Semak Mule CCID'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 4:31 PM