JACQUELINE DAVID
JACQUELINE DAVID
Norsyazwani Nasri


Kuching: Persekutuan Persatuan-Persatuan Wartawan Sarawak (FSJA) kesal dengan insiden kekasaran yang berlaku terhadap pengamal media di lokasi kemalangan maut di tapak pembinaan perumahan di Ulu Bintawa, di sini, baru-baru ini.

Presidennya Jacqueline David berkata, media mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menyalurkan berita kepada orang awam.

"Media adalah instrumen penting yang menyumbang kepada kesedaran dan perlindungan hak asasi manusia menerusi laporannya yang akan mendorong pihak berkaitan untuk bertindak dan mencegah berlakunya sesuatu perkara.

"Wartawan dan petugas media merupakan antara pihak pertama yang akan berada di lokasi kejadian yang kadangkalanya sanggup mempertaruhkan keselamatan diri mereka," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sabtu lalu, wartawan akhbar berbahasa Cina berusia 45 tahun membuat laporan polis selepas dia ditumbuk seorang lelaki kerana merakam gambar kemalangan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani dilaporkan berkata, insiden kekasaran itu berlaku pada jam 2.50 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Menurut Jacqueline, bagi memastikan orang awam mengetahui sesuatu berita, petugas media akan turun ke lapangan supaya berita itu sampai kepada pembaca.

"Itulah dinamakan berita kerana ia adalah hak dan tanggungjawab kami kepada orang awam.

"Kebebasan akhbar di Malaysia dijamin oleh Perkara 10 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan setiap warganegara berhak bebas bercakap dan mengeluarkan pendapat tetapi kebebasan itu tertakluk Fasal 2, 3 dan 4," katanya.

Beliau berkata, hak itu diberi kepada warganegara dan ia tidak mutlak tetapi tertakluk kepada beberapa sekatan yang jelas seperti keselamatan persekutuan, ketenteraman awam, melindungi keistimewaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, penghinaan, fitnah, membangkitkan sebarang hasutan dan kesalahan selain pengamal media juga terikat kepada pengamalan Kod Etika Institut Akhbar Malaysia 1989.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 8:16 PM