ZOO Negara. FOTO arkib NSTP
ZOO Negara. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Zoo Negara menerima sumbangan memberangsangkan daripada orang ramai menerusi kempen haiwan angkat yang dianjurkan pihak terbabit bagi menampung kos pengurusan termasuk keperluan makanan haiwan.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, pendapatan Zoo Negara yang bergantung kepada hasil jualan tiket terjejas teruk disebabkan tidak boleh menerima pengunjung.

Timbalan Presiden Zoo Negara, [email protected] Ahmat Lana berkata, hampir setiap hari pihaknya menerima permintaan daripada syarikat korporat dan orang perseorangan yang mahu menyertai kempen haiwan angkat.

"Alhamdulillah, kita menerima sumbangan antara puluhan sehingga ratusan ribu ringgit daripada syarikat yang menyumbang.

"Ada orang perseorangan yang menghubungi Zoo Negara dan menyumbang dalam kempen haiwan angkat," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Sebelum ini, Zoo Negara mempromosikan kempen haiwan angkat menerusi laman sosial sebagai usaha memastikan bekalan makanan, perubatan dan pengurusan haiwan akan berterusan.

Menerusi kempen berkenaan, orang ramai boleh memilih sama ada mahu memberi sumbangan secara one off (sekali sumbangan) atau secara bulanan mengikut pakej ditetapkan.

Sementara itu, Rosly berkata, Zoo Negara bakal memperkenalkan konsep Zoo Maya, sebagai antara usaha untuk meneruskan operasinya yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, konsep baharu itu akan menjadi sumber pendapatan kepada pihaknya memandangkan sebelum ini hanya bergantung sepenuhnya kepada jualan tiket.

"Idea itu diperkenalkan komuniti Zoo Negara sendiri dalam usaha menjana pendapatan. Melalui konsep itu, orang ramai yang berminat boleh melihat haiwan secara dalam talian.

"Insya-Allah lepas PKP ini, kita akan panggil beberapa syarikat untuk buat pembentangan untuk melaksanakan konsep Zoo Maya terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:33 PM