Polis menahan tiga pelajar. FOTO / Ihsan PDRM
Polis menahan tiga pelajar. FOTO / Ihsan PDRM
Oleh Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Tiga pelajar, termasuk seorang yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ditahan polis kerana berlumba haram di Jalan Lahar Kepar di sini, malam tadi.

Pada Op Samseng Jalanan bermula jam 6 petang hingga jam 11 malam, ketiga-tiganya didapati menunggang sambil melakukan aksi berbahaya di jalan kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiganya yang berusia 14, 16 dan 18 tahun menunggang dari Jalan Lahar Kepar ke arah Kepala Batas sebelum berpatah semula sebaik membuat satu pusingan.

"Kami menahan pelajar terbabit ketika mereka berpatah balik. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Ibu bapa dinasihati mengawal tingkah laku anak dengan tidak sewenang-wenangnya memberi kebenaran menunggang motosikal tanpa lesen sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 5:29 PM