Galeri Darurat di Bukit Kepong. FOTO AHMAD ISMAIL
Galeri Darurat di Bukit Kepong. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail

Muar: Suasana pilu menyelubungi masyarakat Bukit Kepong apabila tahun ini tiada persembahan pentomen keperwiraan polis serta bunyi derap kasut perbarisan di perkarangan Galeri Darurat Bukit Kepong, dekat sini, sempena memperingati peristiwa tragedi Bukit Kepong ke-71 yang disambut hari ini susulan penularan wabak Covid-19.

Imam Masjid Kampung Bukit Kepong Ahmad Radikon Sipon, 76, berkata, walaupun keadaan itu janggal namun tugas dan amanah untuk menjaga persekitaran pusara pejuang negara terbabit yang jaraknya 100 meter dari galeri tetap dilaksanakan.

"Walaupun tradisi itu tidak dapat diraikan namun cukuplah sekadar doa dari seluruh umat di pelusuk dunia agar arwah pejuang negara berterusan dicucuri rahmat.

"Sepanjang puluhan tahun perkhidmatan saya, tiap kali menziarahi makam pahlawan itu, bulu roma akan berdiri seolah kejadian itu baharu sahaja berlaku semalam.

"Saya rasa sayu kerana pertama kali dalam sejarah tidak dapat menyambut hari bersejarah itu dengan penuh istiadat kepahlawanan seperti mana tahun sebelum ini.

"Namun demi kebaikan semua pihak, kita terpaksa melalui semua itu dan berkorban bagi memastikan masyarakat setempat selamat dan peraturan yang dikeluarkan itu wajib dipatuhi.

"Bagaimanapun saya terharu dengan keprihatinan semua pihak terutama anggota polis di Bukit Kepong yang acap kali bergotong-royong membersihkan pusara pejuang bersama kariah setempat walaupun dalam jumlah kecil bagi mematuhi prosedur operasi standard Perintah Kawalan Pergerakan," katanya ketika ditemui di Pusara Pejuang Bukit Kepong, di sini, hari ini.

Ahmad Radikon berkata, tugas penjagaan pusara menempatkan pejuang yang meninggal dunia akibat serangan pengganas komunis pada 23 Februari 1950 itu sebelum ini turut mendapat perhatian pelancong dari pelbagai negara.

"Kami bukan sahaja mengecat batu nesan malah membersihkan rumput selain menyapu daun kering dan kerana itu kawasan pusara bersih.

"Ada kira-kira 200 pusara di tanah perkuburan berkenaan yang wujud sejak 1940-an di atas tanah berkeluasan 1.5 hektar namun sebahagiannya tidak direkodkan," katanya.

Peniaga kedai kopi Lim Ah Ngo, 68, berkata, setiap tahun dia hanya perlu berdiri di halaman kedainya yang bertentangan dengan galeri itu untuk berkongsi kemeriahan sambutan bersama ratusan penduduk dan pelancong sejak awal pagi 23 Februari namun kali ini suasananya berbeza berikutan penularan Covid-19.

"Kebiasaannya kedai kopi saya turut jadi tumpuan setiap kali sambutan ulang tahun tragedi berdarah itu namun kali ini sepi," katanya.

Galeri Darurat Bukit Kepong dibina bagi mengingati tragedi serangan 200 pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada jam 5 pagi, 23 Februari 1950.

Dalam peristiwa itu, 25 anggota polis berjuang habis-habisan sehingga 17 daripadanya terkorban.

Di galeri itu, pengunjung dapat melihat artifak seperti senjata api, pakaian, keadaan berek anggota dan beberapa kenderaan yang pernah digunakan pasukan keselamatan ketika zaman darurat.

Galeri setinggi tiga tingkat dengan kos pembinaannya RM11.5 juta itu turut menyajikan tontonan interaktif seperti tayangan filem sejarah Bukit Kepong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 5:40 PM