Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sempadan daerah diguna pakai ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB) membabitkan daerah pentadbiran diketuai pegawai daerah bukan sempadan polis.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai mengadu mereka ditahan dan dikompaun oleh polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) dalam daerah, sedangkan pergerakan dalam daerah sama adalah dibenarkan.

"Sebenarnya sejak dari dulu kita tidak pernah guna sempadan daerah polis tetapi menggunakan daerah pentadbiran diketuai pegawai daerah.

"Sebagai contoh di Selangor Daerah Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat manakala di Pahang seperti Daerah Jerantut, Bera dan Kuala Lipis," katanya pada sidang media MKN, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, daerah ini sudah biasa digunakan orang ramai dan itu yang digunakan kerajaan dalam penentuan larangan rentas daerah ketika PKP dan PKPB.

"Sebagai contoh daerah Temerloh ingin ke Jerantut kita tidak menggunakan daerah polis tetapi daerah pentadbiran.

"Hal ini berlaku apabila ada yang mengadu mengenai perkara itu dan ia sudah diperbetulkan apabila saya sendiri maklumkan kepada polis mengenai perkara itu," katanya.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Sehubungan itu katanya, bagi mereka yang sudah dikompaun dalam kes seumpama itu boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah kompaun yang dikeluarkan.

"Saya harap dengan penjelasan ini tiada lagi kekeliruan selepas ini," katanya.

Baru-baru ini tular di laman sosial Facebook berhubung kekeliruan sama ada kompaun merentasi daerah dalam PKP bermaksud mengikuti daerah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau sempadan mengikut pejabat daerah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 6:21 PM