FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ruwaida Md Zain


Klang: Peniaga air tebu bakal berdepan 67 pertuduhan merogol anak perempuan kandung dan rakan anaknya berusia 14 tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, lelaki berusia 42 tahun itu akan berdepan 58 pertuduhan merogol anaknya, dan sembilan tuduhan merogol rakan anaknya.

Menurutnya, kejadian menimpa anak kandungnya berlaku sejak mangsa berusia 10 tahun, manakala rakan anaknya pula dirogol sejak Ogos 2020 hingga Januari lalu sebelum suspek ditahan 10 Februari lalu.

"Kertas siasatan sudah dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan untuk tuduh terhadap suspek mengikut Seksyen 376 (1) dan Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah," katanya.

Menurutnya, rakan anak suspek membuat laporan polis selepas lelaki terbabit didakwa merogolnya di sebuah rumah, di sini, pada 7 Januari lalu.

Katanya, sebaik menyedari rakannya membuat laporan polis, anak kandung suspek juga ke balai polis bersama ibunya membuat laporan polis berhubung kes terbabit.

"Anak kedua daripada lima beradik itu memberitahu suspek merogolnya sejak berusia 10 tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 7:03 PM