PELBAGAI aktiviti bermanfaat disusun untuk peserta sepanjang program berlangsung.
PESERTA diajar cara yang betul memakai samping.
PESERTA segak memakai tanjak.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

Setiap kali musim cuti sekolah tiba, ibu bapa merancang pelbagai agenda percutian bagi mengisi masa lapang anak dengan aktiviti berfaedah.

Selain mendapat manfaat, aktiviti yang disusun juga bertujuan merapatkan hubungan kekeluargaan, sekali gus mengelak anak daripada terbabit dengan gejala sosial antaranya melepak dan merempit.

Justeru, Persatuan Seni Budaya dan Warisan Jawi (Waris Alam) serta Majma' Budaya dan Warisan Jawi (Majmak) menganjurkan pelbagai program menarik bagi memberi manfaat kepada kanak-kanak serta mengelak mereka daripada membuang masa melakukan aktiviti tidak berfaedah.

Melihat kepada masalah sosial yang berlaku kebelakangan ini, kedua-dua badan itu mengambil inisiatif menganjurkan program Budi bagi menarik kanak-kanak dan remaja seawal usia 11 hingga 17 tahun menyertai program yang disusun.

Ia sebagai langkah awal untuk memberi pendedahan kepada remaja dalam membentuk peribadi dan jati diri bagi membolehkan mereka menjadi pelapis terbaik kepada tonggak pentadbiran negara pada masa akan datang.

Menurut Pengerusi Waris Alam, Azizi Arifin, biarpun terdapat banyak program motivasi tumbuh bagai cendawan selepas hujan ketika ini, tidak banyak yang memberi perhatian terhadap kepentingan budaya, adat resam dan warisan Melayu Islam dalam mendidik anak.

"Warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni dan sebagainya.

"Tamadun sesuatu bangsa dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Ia harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Tambahan pula, budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita.

"Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar kesulitan hidup nenek moyang kita kerana dari sinilah kita akan mendapat iktibar dan pengajaran," katanya.

Azizi berkata, budaya Melayu yang murni merupakan benteng yang dapat menghalang generasi muda daripada dihanyutkan budaya Barat.

Sehubungan itu, program Budi memberikan kelainan kepada peserta kerana ia mendedahkan mereka terhadap kepentingan mengekalkan warisan budaya Melayu, seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Peserta turut diajar mengikat samping dan tanjak, silat tari, senaman Melayu, berkompang, mengenali herba dan seni binaan rumah Melayu.

"Aktiviti peserta turut disulam dengan slot pemerkasaan ibadat seperti solat dan doa. Selain itu, mereka akan diajar asas berenang 'cara kampung' serta menyertai aktiviti riadah termasuk permainan tradisional seperti konda kondi, galah panjang dan congkak.

"Lebih menarik, mereka juga akan mengalami sendiri hidup cara kampung seperti penggunaan jamung, kertuk bahkan diajar bagaimana menyemat atap rumah menggunakan daun rumbia atau nipah," katanya.

Pada masa sama, program itu turut mengetengahkan artis seni halus negara, Raja Shahriman Raja Aziddin untuk menjelaskan kefahaman seni dan budaya serta kepentingannya dalam kehidupan seorang Melayu.

Peserta juga berpeluang bersembang santai dengan penggiat budaya, Saiful Anwar Yahya mengenai alam remaja serta tanggungjawabnya terhadap agama, bangsa dan negara.

Matlamat utama program itu untuk memba­ngunkan 'roh budaya' dalam diri sebagai satu elemen yang tidak terpisah dalam diri seorang Melayu, tidak bercanggah dengan syarak dan seterusnya mengakar dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Motivasi dan tip untuk maju dalam pelajaran serta menghormati ibu bapa menjadi antara komponen penting yang disentuh dalam program itu.

Bagi yang berminat menyertai program yang bakal diadakan pada 30 November hingga 4 Disember ini, boleh melayari kembudi.blogspot.com untuk pendaftaran di atas talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:03 AM