PARIS Hilton antara selebriti terkenal yang mengalami masalah unilateral ptosis.
SEIRING usia, otot di kelopak mata menjadi lemah.
KANAK-kanak turut mengalami masalah kelopak mata ‘jatuh’.
KELOPAK mata jatuh boleh pulih secara semula jadi atau melalui pembedahan.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Mungkin ada yang menganggap seseorang itu kelihatan menarik kerana memiliki sepasang mata kuyu, namun hakikatnya ia berkait rapat dengan masalah otot lemah di bahagian mata hingga kelopak mata ‘jatuh’ atau terma perubatannya ‘ptosis’.

Ptosis boleh berlaku akibat trauma, pening­katan usia atau pelbagai faktor perubatan lain yang mungkin serius.

Ia boleh berlaku pada bahagian sebelah mata dikenali sebagai unilateral ptosis ataupun kedua-dua mata yang dipanggil bilateral ptosis.

Ptosis boleh bersifat sementara ataupun kekal, selain boleh berlaku sebaik dilahirkan (ptosis kongenital) atau secara perlahan-lahan seiring peningkatan usia (ptosis yang diperoleh).

Bergantung kepada keadaannya sama ada serius ataupun tidak, kelopak mata kuyu boleh menghalang pandangan dan menyebabkan masalah penglihatan sekiranya anak mata ditutup kelopak mata.

Kadangkala kelopak mata jatuh boleh pulih sendiri secara semula jadi ataupun dirawat melalui pembedahan.

Ada pelbagai penyebab berlakunya masalah kelopak mata jatuh, antaranya punca semula jadi ataupun menandakan masalah kesihatan lebih serius yang hanya boleh ditentukan apabila seseorang bertemu doktor untuk membuat rawatan.

Menurut Pakar Bedah Plastik Hospital Beacon, Dr V Surendranathan, sesiapa saja boleh mengalami masalah ptosis, namun ia lebih banyak berlaku dalam kalangan orang berusia 40 tahun ke atas kerana faktor penuaan secara semula jadi.

Katanya, tendon yang terletak pada otot levator, yang bertanggungjawab untuk mengangkat kelopak mata menjadi lemah dan seiring usia ia semakin meregang, seterusnya me­nyebabkan kelopak mata jatuh.

“Bagaimanapun, masalah ini juga boleh berlaku kepada bayi yang baru dilahirkan dan ia dikenali sebagai ptosis kongenital.

“Mereka perlu dirawat segera iaitu kelopak mata dibedah untuk ‘mengangkatnya’, bagi mengelak masalah lebih serius iaitu juling air atau keadaan saraf otak di bahagian mata tidak berfungsi kerana mata terbabit tidak digunakan, seterusnya menyebabkan ia tidak dapat melihat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Juling air atau ‘mata malas’ berlaku apabila otak tidak dapat mengesan imej yang datang daripada mata tertutup dengan kelopak, akhirnya menyebabkan mata berkenaan mengalami masalah penglihatan serta tidak mampu menjangka jarak dengan betul.

Ia juga berkait rapat dengan perkembangan saraf otak yang bertugas untuk memproses penglihatan dengan sempurna.

Keadaan itu berlaku apabila kedua-dua mata tidak digunakan sama rata, menyebabkan penglihatan hanya bertumpu pada mata yang lebih banyak digunakan.

Menurut Dr Surendranathan, apabila mata kanak-kanak yang dilahirkan dengan masalah ptosis tidak dirawat segera sebelum usianya mencecah enam tahun, ia akan mengalami masalah penglihatan kekal kerana bahagian otak yang memproses penglihatan tidak berkembang.

Katanya, kanak-kanak yang mendapatkan rawatan sebelum usia mereka mencecah enam tahun, masih berpeluang melihat dengan sempurna dan kembali normal kerana bahagian penglihatan di otak mereka masih berkembang.

Sebaik kelopak mata diangkat ke kedudukan normal, mata akan dapat melihat imej secara penuh yang kemudian diproses otak. Ini membantu kanak-kanak kecil pulih daripada ptosis dengan pantas.

Mata ‘bertirai’

“Bagi yang mengalami ptosis akibat usia semakin lanjut, penglihatan menjadi terhalang dan kebiasaannya mereka akan mendapatkan rawatan kerana rasa tidak selesa apatah lagi setiap kali membuka mata, seolah-olah ada tirai pada mata mereka.

“Ptosis bukan masalah yang boleh membawa kepada komplikasi serius, namun jika ia menghalang seseorang untuk memandu dengan sempurna selain boleh mencederakan diri dengan terlanggar objek di kiri kanan mereka, ia perlu dirawat segera.

“Ini kerana masalah kelopak mata jatuh ini boleh menjadi semakin teruk dengan pertambahan umur. Ia biasanya bermula sekitar pertengahan 40-an dan akan menjadi lebih serius mencecah usia 70-an,” katanya.

Dr Surendranathan berkata, antara tanda jelas yang menunjukkan seseorang itu mengalami ptosis adalah apabila dia terpaksa mengangkat kepala atau mengerutkan dahi semata-mata untuk membolehkannya melihat dengan lebih jelas.

Sekiranya sering ditegur kelihatan seperti mengantuk atau letih oleh orang sekeliling, seseorang itu perlu peka dengan keadaan kelopak mata mereka dan segera bertemu doktor bagi memulihkannya.

Akibatnya, beliau berkata, golongan itu akan mengalami kedutan lebih ketara pada dahi serta sentiasa kelihatan keletihan, mengantuk, sedih atau marah apabila terpaksa mengerutkan dahi semata-mata untuk melihat.

Bagi kes lebih serius, mata mereka seperti ‘bertudung’ dan terpaksa mengangkat tinggi muka untuk melihat setiap kali berbual.

“Rawatan efektif adalah menerusi pembedahan di kelopak mata, apabila doktor akan mengetatkan otot levator sekali gus ‘mengangkat’ kelopak mata supaya anak mata tidak tertutup.

“Bagi kes lebih serius, doktor akan mengambil tendon yang tidak digunakan pada bahagian kaki dan menjahitnya pada kelopak mata.

“Selain pembedahan ini tidak rumit dan hanya mengambil masa antara 45 minit hingga satu jam untuk satu mata, tiada parut akan kelihatan kerana potongan dibuat pada bahagian lipatan kelopak mata,” katanya.

Bagi mereka yang mengalami bilateral ptosis, mereka disaran membuat pembedahan pada kedua-dua mata sekali gus bukan saja atas faktor kewangan dan masa, tetapi ia dapat membantu mereka pulih dengan lebih pantas.

Menurutnya, bagi yang sihat dan tidak ada penyakit serius seperti diabetes atau tekanan darah tinggi, luka pembedahan akan mudah pulih antara dua ke tiga minggu.

Bagaimanapun, mereka yang sudah berusia dan mempunyai masalah kesihatan dan penyakit kronik, luka pembedahan akan mengambil masa lebih lama untuk sembuh.

Dr Surendranathan berkata, sebaik pembedahan selesai, kelopak mata akan membengkak dan kelihatan sedikit terbeliak buat sementara, namun ia akan berkurangan dan akhirnya kembali normal.

Beliau menasihatkan mereka yang mengalami masalah ptosis supaya segera mendapatkan rawatan kerana keadaan itu boleh menjadi lebih serius sekiranya dibiarkan lebih lama.

Apatah lagi katanya, jika seseorang menunggu sehingga usia tua untuk mendapatkan rawatan, pembedahan akan menjadi lebih berisiko dan luka mengambil masa lebih panjang untuk pulih, atas faktor kesihatan yang merosot dan menghidap penyakit kronik.

“Tidak ada cara untuk mengelak masalah ptosis daripada berlaku kerana perkara ini berkaitan dengan otot dan seiring usia, otot pada tubuh akan menjadi lemah. Ia juga ada sedikit kaitan dengan keturunan, jika mempunyai ibu bapa yang mengalami masalah ptosis, kemungkinan untuk anaknya turut mengalami ptosis lebih tinggi.

“Bagaimanapun, jika ibu bapa mendapati anak kecil mereka mengalami ptosis, mereka perlu membawanya bertemu doktor mendapatkan rawatan segera bagi mengelak masalah penglihatan lebih serius.

“Bagi ibu bapa yang sudah lanjut usia, anak-anak yang menyedari ibu bapa sering terlanggar objek ketika berjalan, sukar membawa kenderaan atau mengalami kesukaran bergerak, boleh membawa mereka bertemu doktor dengan segera untuk melihat sama ada mengalami ptosis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 9:30 AM