HAFIZ (tengah) terus tabur bakti bersama Pahang.
HAFIZ (tengah) terus tabur bakti bersama Pahang.

Kuantan: Teka teki status Mohd Hafiz Kamal bersama Pahang musim depan terjawab apabila pemain tengah itu mengesahkan akan terus kekal bersama Tok Gajah.

Sebelum ini pemain kelahiran Pantai Remis, Perak itu dikatakan akan beralih angin memilih pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas membantu Pahang menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Malaysia musim ini.

“Hati saya begitu kuat di Pahang selepas tiga musim bersama, sebab itu saya tidak mampu menolak tawaran Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).

“Justeru, saya terpaksa menolak tawaran PDRM walaupun perjanjian sudah dilakukan selepas tamat Liga Malaysia (Liga M). Saya mohon maaf kepada pihak pengurusan PDRM kerana tidak dapat memenuhi janji,” katanya.

Dia yang kini bersama pasukan Harimau Malaya berkata, banyak faktor mempengaruhinya untuk terus kekal di Pahang bagi musim keempat.

Katanya, perhatian diberikan PBNP terhadap kebajikan pemain membuatkan dia tekad kekal di Pahang.

Hafiz berkata, keputusan semua pemain musim ini kekal di Pahang turut menyebabkan dia keberatan untuk berpindah walaupun ditawar ganjaran menarik.

“Keputusan PBNP mengekalkan semua pemain musim ini diharap memberikan kekuatan seimbang dalam usaha kami mengekalkan kejuaraan,” katanya yang kini memberikan tumpuan kepada perjuangan skuad Harimau Malaya menjelang saingan Piala AFF, minggu depan.

Mengenai pasukan negara, Hafiz berkata, walaupun keputusan perlawanan persahabatan tidak begitu membanggakan, itu tidak bermakna Harimau Malaya akan mudah ditewaskan.

“Prestasi perlawanan persahabatan tidak mungkin sama dengan perlawanan sebenar kerana semangat dan kesungguhan pemain di pentas antarabangsa selalunya meningkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:04 AM