PESERTA memanaskan badan sebelum acara larian bermula.
PESERTA memanaskan badan sebelum acara larian bermula.

Lebih 5,000 peserta daripada latar belakang berbeza bersatu hati bagi menunjukkan komitmen masing-masing terhadap kajian berkaitan kanser dan menyokong objek­tif Larian Terry Fox 2015 yang diadakan pada 29 November lalu di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur.

Mengingati semangat kental dan legasi yang ditinggalkan atlet 35 tahun lalu, Terry Fox, larian pada tahun ini bermula jam 8 pagi dari Suruhanjaya Tinggi Kanada yang menyaksikan peserta berlari, berjalan, mengayuh basikal dan berkasut roda.

Terry Fox atau nama sebenarnya Terrance Stanley Fox adalah atlet Kanada, pejuang kemanusiaan dan aktivis kajian barah yang kudung sebelah kaki akibat kanser.

Pada 1980, dengan memakai kaki palsu, dia berlari merentas Kanada dalam misinya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kanser selain mengumpul dana untuk kajian kanser.

Pengerusi Larian Terry Fox 2015, Jo Tan berkata, pihaknya terharu dengan sambutan hebat daripada orang awam di negara ini yang tidak jemu menyokong usaha menyebarkan kesedaran mengenai kanser.

“Melihat ramai bersatu untuk menjayakan acara larian Terry Fox tahun ini membuatkan kami rasa berbesar hati dan gembira. Terima kasih juga kepada derma yang disumbangkan golongan pemurah di negara ini,” katanya.

Larian Terry Fox adalah acara mengumpul dana bagi kajian kanser yang terbesar pernah diadakan di dunia selain sebagai tanda penghormatan kepada Terry Fox yang memulakan ‘Maraton Harapan’.

Fox berjaya berlari selama 143 hari meliputi jarak sepanjang 5,373 kilometer sebelum meninggal dunia pada 1981.

Yayasan Terry Fox kemudian ditubuhkan pada tahun sama untuk meneruskan legasinya pada masa sama setiap tahun.

Sehingga kini, larian berkenaan sudah dianjurkan di lebih 50 negara dan berjaya mengumpul lebih RM1.3 bilion dalam usaha mencari penawar kanser.

Di Malaysia, acara larian itu yang bermula di sini sejak 2001 sudah berjaya mengumpul lebih RM2 juta untuk membolehkan kajian kanser dijalankan.

Pada tahun lalu, ia berjaya menarik kira-kira 7,000 peserta dan mengumpul dana sebanyak RM215,000.

Tahun ini, lebih 12,000 baju-T Larian Terry Fox 2015 sudah dijual dan keuntungannya disalurkan ke penerima dana tahun ini, Kajian Kanser Malaysia.

Yayasan Terry Fox juga disertai bekas pesakit kanser sebagai simbol harapan kepada pesakit yang sedang bertarung dengan penyakit itu dan memberi semangat untuk mereka menjalani rawatan.

Bekas pesakit kanser yang menyertai larian itu akan disenaraikan sebagai Ahli Pasukan Terry dan pada kali ini, seramai 100 orang dijemput untuk menyarung baju-T istimewa untuk bersama memeriahkan acara terbabit.

Ketua Eksekutif Kajian Kanser Malaysia Prof Dr Teo Soo-Hwang berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalinkan kerjasama dalam acara larian itu bagi menyokong kajian mengenai kanser.

“Ia adalah sesuatu yang bermakna bagi meneruskan usaha Terry Fox mencari penawar kepada kanser. Sokongan yang ditunjukkan membuatkan kami berasa lebih bermotivasi untuk giat menjalankan kajian kanser di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 9:39 AM