Kuala Lumpur: Pengendali skuad negara Dollah Salleh bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk beraksi dengan 10 pemain menjelang saingan peringkat Kumpulan B Piala AFF di Singapura, Ahad ini.

Skuad Harimau Malaya terus dihantui kad merah apabila Mohd Muslim Ahmad diarah meninggalkan padang ketika kecundang kepada Vietnam dalam aksi persahabatan pada Ahad lalu.

Rakannya di pertahanan tengah, Mohd Fadhli Shas pula dibuang padang pada minit ke-81 ketika tewas kepada Syria 0-3 di Stadium Shah Alam.

“Memang perlu berhati-hati, namun dalam bola sepak kita perlu terima benda seperti itu. Jika terlalu berhati-hati, ia boleh mencetuskan masalah juga. Pemain perlu bijak dalam padang.

“Kita ada berbincang jika perkara seperti ini berlaku pada masa depan. Kita mempunyai perancangan jika terpaksa bermain dengan 10 pemain,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad negara di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil petang semalam.

Skuad negara akan membuka aksi Kumpulan B menentang Myanmar, Thailand dan diakhiri tuan rumah, Singapura.

Selepas menyaksikan gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Amri Yahyah semakin menyinar, situasi skuad negara kelihatan semakin baik apabila Muslim yang menerima kad merah ketika menentang Vietnam boleh diturunkan untuk aksi Kumpulan B bermula dengan Myanmar.

Perkembangan berkenaan disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin selepas mendapat pengesahan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF), penggantungan berkenaan tidak membabitkan saingan di Piala AFF, sekali gus menggembirakan Dollah yang sememangnya mengharapkan pertahanan PDRM berkenaan mampu diturunkan.

“Saya amat bersyukur kerana sebelum ini sememangnya kami mempersiapkan dia untuk bergandingan bersama Fadhli, Mohd Shukur Adan atau Mohd Afif Amiruddin. Saya pasti pertahanan kita akan lebih mantap apabila berdepan Myanmar,” katanya memantau rapat situasi kecederaan Afif dan Safiq Rahim ketika ini.

Sementara itu, Muslim berkata, berita itu menggembirakan dirinya, namun menegaskan kad merah yang diterimanya tidak akan mempengaruhi corak permainannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:04 AM