KANAK-KANAK dari Rumah Anak-Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah tidak sabar untuk bertemu dengan Boboiboy.

Kejutan gembira cuti sekolah. Inilah yang diterima 500 kanak-kanak dari lapan rumah kebajikan di Perak apabila Movie Animation Park Studios (MAPS) memberi mereka pas masuk ke taman tema animasi pertama di Asia itu.

Di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat #MAPSweCare, jemputan itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat berkenaan membawa kegembiraan kepada kanak-kanak dan mendekati masyarakat.

Pengasas Rumah Anak-Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah di Chemor Dr Fazillah Nordin berkata, pihaknya sangat berbesar hati dengan perhatian yang diberikan dan kanak-kanak di bawah jagaannya begitu teruja untuk merasai keseronokan di taman tema berkenaan yang kebetulan tidak jauh dari kediaman mereka.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Semangat Maju (Terencat Akal) Ipoh, Annie Margaret berkata, dia bersyukur apabila ada syarikat korporat seperti MAPS yang memasukkan kanak-kanak di sekolah itu dalam aktiviti kemasyarakatan mereka.

“Tiada yang lebih membahagiakan kami selain melihat kegembiraan di wajah mereka. Saya percaya apabila taman tema itu siap kelak, mereka dapat merasai pengalaman menyeronokkan yang akan dikenang sepanjang hayat,” katanya.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif MAPS Darren McLean menjelaskan, melalui program itu, pihaknya berharap dapat menyentuh hati insan istimewa dan membawa kegembiraan kepada masyarakat dengan cara tersendiri. Malah, dia juga mengalu-alukan jika ada organisasi lain yang mahu menjalin kerjasama dengan syarikat itu dalam memberi inspirasi kepada kanak-kanak kurang berkemampuan bagi menghidupkan impian mereka.

Sejak dilancarkan, program kemasyarakatan MAPS sudah menjalankan pelbagai aktiviti antaranya melawat wad kanak-kanak di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan berkongsi kegembiraan musim perayaan dengan pelajar Sekolah Semangat Maju (Terencat Akal) di Ipoh.

Kanak-kanak bertuah yang akan menjadi tetamu khas MAPS adalah dari Sekolah Semangat Maju, Rumah Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah (Chemor), Pusat Jagaan Anak-anak Yatim dan Miskin Nurul Iman (Manjoi), Rumah Anak Yatim Budi Mulia Nurul Huda (Chemor), Rumah Anak Yatim Bait Al-Amin (Parit), Maahad Tahfiz Al-Quran & Akademik Bakip (Meru Raya), Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Ar-Ridwani (Ipoh) dan Rumah Anak Yatim/Miskin Nur Hidayah (Taiping).

Taman tema animasi itu akan mula menjual tiketnya pada Januari 2016. Untuk perkembangan terkini, layari www.mapsperak.com.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 5:00 AM