Kuala Terengganu: Terengganu kini menunggu peluang keemasan untuk menyambar penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Paulo Rangel (gambar) untuk saingan musim depan.

Ini berikutan pemain kelahiran Belem, Brazil itu berselisih faham dengan majikannya, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang menyaksikannya ingin membatalkan kontrak.

Difahamkan, skuad Penyu mahu mengambil kesempatan mendapatkan penyerang berusia 29 tahun itu sekiranya dia bertekad mahu meninggalkan Merah Kuning.

Sumber berkata, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) kini berusaha mencari penyerang berkaliber bagi menghadapi Liga Super musim depan dengan Rangel menjadi pilihan.

Menurutnya, PBSNT bagaimanapun tidak boleh bertindak sesuka hati kerana bekas penyerang Perak itu masih memiliki kontrak dua tahun bersama Selangor hingga 2016.

“Apa yang boleh PBSNT lakukan hanya menunggu peluang kerana desas-desus kuat mengatakan Rangel mahu meninggalkan Selangor.

“Sekiranya benar perkara itu berlaku, bermakna Terengganu berpeluang menyambar penyerang itu,” katanya semalam.

Isnin lalu, akhbar ini melaporkan Rangel menolak hasrat Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad untuk melunaskan bayaran penuh kepadanya pada hujung bulan ini dan bertegas perlu diselesaikan minggu ini.

Beliau yang kini bercuti di negaranya memberikan tempoh kepada FAS sehingga esok untuk membuat bayaran atau dia akan membatalkan kontrak ditandatanganinya.

Terdahulu, Rangel dalam laman sosial Instagram miliknya melahirkan rasa terkilan terhadap baki bayaran yang belum dilunaskan kepadanya selepas melanjutkan kontrak bersama Selangor Ogos lalu.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, Terengganu kini sibuk mencari penyerang import berkualiti untuk mengisi dua daripada empat kuota pemain asing dalam pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu.

“Rangel boleh dilabel antara penyerang berkualiti dengan penyudahan berbisa. Buktinya dia menjadi penjaring terbanyak dengan 16 gol musim lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:05 AM