PELUMBA PCT giat jalani latihan.
PELUMBA PCT giat jalani latihan.

Jasin: Penyertaan 23 pegawai dan anggota tentera dari Pusat Latihan Kor Perkhidmatan Diraja (PLUMAT) Taiping, Perak bakal memberi saingan sengit pada Sirkit 4 Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Asahan, pada 28 dan 29 November ini.

Pasukan yang menggunakan nama PLUMAT Cycling Team (PCT) itu turut membariskan tiga pengayuh harapan untuk mendapat ranking terbaik di kejohanan itu.

Pasukan PCT turut mempertaruhkan empat pengayuh wanita yang bersaing dalam kategori Terbuka Metro (Jamboree) Wanita.

Ketua pasukan PCT Kapten Iswandi Gabriel berkata, Sirkit 4 ini penyertaan ketiga mereka selepas Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Kuala Kangsar, Perak.

Katanya, kehadiran mereka bukan saja mahu bersaing dengan pelumba lain lagi, tetapi untuk mencabar diri sendiri sebagai pasukan keselamatan.

“Walaupun bakal berdepan trek mencabar, kami akan memberi tekanan kepada diri sendiri untuk menamatkan kayuhan walaupun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan.

“Kejohanan ini dijadikan medan menguji kecekalan dan kekuatan fizikal kerana kehadiran kami nanti bukan setakat mahu mendapat tempat terbaik,” katanya.

Iswandi berkata, harapan diberikan kepada tiga pengayuh pasukannya kerana mereka berpotensi dan berupaya mendapat ranking dalam kelompok 100 terbaik seperti disasarkan.

Katanya, pasukannya memang teruja untuk menyertai kejohanan ini dengan membuat persiapan setiap minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:06 AM