BEEGO atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah (kanan) keluar daripada Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas bebas tuduhan khalwat. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
BEEGO atau nama sebenarnya Md Aszerul Nizam Abdullah (kanan) keluar daripada Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas bebas tuduhan khalwat. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Oleh Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Pelakon dan bekas penyanyi kumpulan Phyne Ballerz, Beego dan dua rakannya dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Rendah Gombak Timur di sini daripada pertuduhan berkhalwat dengan dua wanita di sebuah rumah, empat tahun lalu.

Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan demikian terhadap Beego atau nama sebenarnya, Md Aszerul Nizam Abdullah, 35, pekerja swasta, Fikry Zainon, 35, dan Mohd Arsli Mior Atan Ahmad, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.

Mereka didakwa berkhalwat dengan dua kenalan wanita mereka, Hadijah Mohamad Mokhar dan Azlina Yazit di Oakleaf Kondominium, Bukit Antarabangsa, Ampang di sini, pada 6 pagi, 23 Februari 2011.

Azlina dan Hadijah yang berusia awal 30-an mengaku bersalah pada Mei 2012 atas tuduhan itu dan masing-masing membayar denda berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 20(1)(a) bagi lelaki dan Seksyen 20(1)(b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 12:41 PM