KONGSI impian sama jadi artis terkenal dorong 3 remaja hasilkan single  I Miss You.
KONGSI impian sama jadi artis terkenal dorong 3 remaja hasilkan single I Miss You.
Oleh Nor Akmar Samudin


Mereka bertiga berjiran dan menuntut di sekolah sama dari tingkatan satu sehingga lima di Seremban, Negeri Sembilan. Apabila meningkat remaja, mereka berkongsi impian sama menjadi artis terkenal.

Amirul Husyairi Nani, Mohamad Aliff Zkhmal Hairul Nizam dan Muhammad Razif Razak (Ajib) yang berusia 18 tahun menubuhkan kumpulan yang diberi nama Q4 dan baru sahaja menghasilkan single berjudul I Miss You. Lebih istimewa lagu itu ciptaan mereka sendiri dan ada beberapa lagu lagi sudah siap untuk dirakamkan sekiranya single pertama itu mendapat sambutan memberangsangkan.

Mengulas kewujudan Q4, ia bermula dengan Ajib menyertai pertandi­ngan Vokal N9 dan menang. Bakat Ajib kemudian dihidu Mohd Danial Harun yang pernah menguruskan beberapa kumpulan muzik sebelum berehat seketika kerana serangan strok.

Daniel tidak mahu bakat Ajib dipersiakan begitu sahaja lalu bertemu anak muda itu. Selepas berbincang, Ajib lebih selesa tampil berkumpulan maka Aliff dan Husyairi diajak untuk turut serta.

Itulah permulaan Q4 yang mahu menjadi ikon kepada remaja lain. Masih mentah untuk merancang kembara seni mereka, kumpulan itu diuruskan Danial dengan bantuan Sli Mohd Aris atau mesra de­ngan panggilan Kak Nor.

Menurut Ajib, sebelum I Miss You dirakamkan, single itu diperdengarkan kepada Danial terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Rody Kristal untuk gubahan muzik yang lebih indah serta menarik.

“Kami terharu apabila abang Danial sanggup bersusah payah malah mengeluarkan bajet untuk rakaman single ini. Syukur ada orang sudi mengetengahkan bakat kami bertiga. Dalam keadaan pasaran yang suram kami tidak berharap menghasilkan album penuh. Dapat keluarkan single pun sudah memadai buat kami yang baru bertapak.

“Selain kami ada seorang lagi anggota tetapi dia hanya muncul ketika kami menjayakan persembahan. Dia akan mengiringi persembahan kami dengan petikan gitar,” katanya.

Meskipun rancak memburu impian bergelar pe­nyanyi terkenal, Q4 tidak mengabaikan pelajaran. Ajib kini menyambung pengajian di Kolej Uniti, Port Dickson, Negeri Sembilan, Husyairi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam dalam jurusan teater dan Aliff pula di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, pengkhususan multi media.

Jelas Ajib, Isnin hingga Jumaat fokus mereka pada kuliah dan hujung minggu barulah ke Kuala Lumpur untuk berlatih menyanyi.

“Petang Jumaat kami bertiga akan ke rumah abang Danial di Bukit Antarabangsa untuk berlatih menyanyi dan membincang­kan langkah seterusnya memperkenalkan Q4 .

“Kemunculan Q4 bukan untuk bersaing tetapi merealisasikan impian kami. Untuk berjaya kami sentiasa mengikuti perkembangan kumpulan KRU, Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir dan Forteen. Mereka menjadi pemangkin semangat kami,” katanya.

Sesuai dengan usia, tiga remaja ini meminati lagu rancak namun irama balada tidak diketepikan.

“Kami tidak boleh terlalu taasub dengan muzik yang kami suka sahaja. Kena ambil kira juga selera dan kehendak pendengar. Demi jadi penghibur yang versatil kami bersedia meneroka muzik baru.

“Untuk single pertama, kami yakin I Miss You dapat diterima pendengar kerana muziknya rancak dan segar,” kata Ajib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 9:44 AM