SEDIAKAN sebiji epal merah, tujuh biji tomato ceri dan sebiji ubi bit.
SEDIAKAN sebiji epal merah, tujuh biji tomato ceri dan sebiji ubi bit.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Sistem imun badan yang baik sangat penting dalam mengekalkan kesihatan. Ia mampu memberi perlindungan kepada tubuh daripada pelbagai masalah kesihatan daripada jangkitan kecil hinggalah ke penyakit kanser.

Salah satu cara untuk membina sistem imun badan yang kuat adalah melalui pengambilan diet seimbang. Diet yang mengandungi vitamin dan mineral yang cukup boleh meningkatkan imun badan.

Pengasas My Ideal Weight Nurul Ashikin Md Nasir berkata, badan yang mempunyai fungsi imun yang kuat boleh meningkatkan rintangan daripada pelbagai jangkitan virus dan bakteria selain menghentikan pertumbuhan sel kanser.

“Salah satu jus yang boleh membantu untuk meningkatkan sistem imun badan ialah kombinasi epal, tomato dan ubi bit.

“Epal adalah buah yang popular dalam menjauhkan kita daripada penyakit. Kandungan pektin yang terdapat di dalamnya membantu menyingkirkan unsur berbahaya yang terdapat di dalam badan kita

“Tomato dan ubi bit adalah sayuran mengandungi kadar antioksidan yang tinggi. Salah satu cara untuk meningkatkan sistem imun badan ialah dengan mengambil makanan yang mempunyai tinggi kadar antioksidan agar boleh mengurangkan kesan radikal bebas yang berbahaya kepada tubuh.

“Likopen yang terdapat di dalam tomato juga boleh membantu dalam pencegahan kanser. Ubi bit adalah sayuran yang memberikan hasil warna merah di dalam kombinasi jus ini,” katanya.

Selain itu, kandungan betasianin yang terdapat di dalam ubi bit pula dapat menghalang pertumbuhan tumor kanser dan membantu penyahtoksik badan kita daripada toksin yang berbahaya.

Nitrat yang terdapat di dalam ubi bit boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi manakala fitonutrien yang ada dalam sayuran ini boleh mengurangkan risiko kanser.

Cara penyediaan minuman campuran jus ini juga mudah iaitu dengan memasukkan semua bahan yang diperlukan ke dalam mesin pemerah jus. Dengan hanya memerah jus daripada tomato, epal dan ubi bit anda sudah ada minuman segar yang enak dan menyihatkan untuk dijadikan pelengkap hidangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 12:42 PM