Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Sebanyak 130,037 premis di seluruh negeri ini sudah diperiksa dalam Ops Catut sejak awal tahun ini hingga hari ini bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Unit Anti Pencatutan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah Ariffin Muslim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 564 tindakan kes dibuat.

"Keseluruhan nilai rampasan pula sebanyak RM84,343 dan kompaun RM94,100 dengan kes tertinggi adalah membabitkan Akta Kawalan Harga sebanyak 338 kes.

"Dalam tempoh berkenaan juga sebanyak 149 notis dikeluarkan kepada peniaga untuk mendapatkan penjelasan dan justifikasi punca kenaikan harga atau caj perkhidmatan," katanya pada sidang media selepas mengetuai Ops Catut sekitar pekan Kuah di sini, hari ini.

Mengulas Ops Catut selama dua hari di sini, Ariffin berkata, dua peniaga restoran sudah diberi notis tunjuk sebab kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Caj Perkhidmatan Bagi Hotel dan Restoran) 2015.

"Peniaga yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukkan denda RM100,000 bagi individu, manakala syarikat RM500,000 atau dipenjarakan tiga tahun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 5:15 PM
Ariffin (kiri ) bersama penguat kuasa PPDNKK Kedah memeriksa premis yang menjual peralatan elektrik dalam Ops Catut di pekan Kuah, Langkawi,hari ini. FOTO Hamzah Osman