KETIKA menjalani latihan menembak.
KETIKA menjalani latihan menembak.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Cuba lari daripada kebiasaan karya terbitannya sebelum ini, penerbit, Datuk A Aida menerusi syarikat A Aida Production mempertaruhkan naskhah bergenre aksi berjudul Bodyguard.

Drama pertamanya untuk tahun 2016 itu bakal mengisi slot Aksi TV3 bermula 24 Februari, setiap Isnin hingga Rabu, jam 9.00 malam.

Menurut A Aida yang juga penulis skrip drama terbabit, naskhah itu dihasilkan khas untuk Fattah Amin, Azrel Ismail, Idris Khan, Lan Siro dan Sabhi Saddi yang melakonkan watak pengawal peribadi.

“Sebelum menulis skrip, saya akan memikirkan konsep dan jalan cerita yang boleh menarik minat penonton. Bukan apa, hari ini kebanyakan penerbit drama mengejar perkara itu.

“Nak dijadikan cerita, Fatah, Azrel, Idris, Lan dan Sabhi antara yang kerap menjayakan drama terbitan saya. Daripada situ timbul idea menghasilkan drama Bodyguard. Saya kumpul mereka dalam satu drama,” katanya.

Kata A Aida lagi, pemilihan mereka sebagai teraju utama bukan kerana mahu menarik penonton semata-mata sebaliknya lebih kepada kesesuaian karakter.

“Penampilan dan susuk tubuh mereka yang menarik memang sesuai untuk watak pengawal peribadi. Seperkara lagi, mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri dan diharap dapat meningkatkan lagi jumlah tontonan drama ini nanti,” katanya.

Drama yang turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Pengawal Peribadi-BGM itu diterbitkan bagi memberi pemahaman kepada masyarakat berkenaan tugas dan fungsi pengawal peribadi.

“Setiap espisod ada dipaparkan pengajaran. Kiranya drama ini sedikit sebanyak dapat mendidik masyarakat bahawa perlakuan jahat pasti mendapat balasan.

“Memandangkan ia bergenre aksi, mereka perlu menjalani latihan intensif terutama teknik menembak, mengiring dan disiplin pengawal peribadi. Saya minta pengawal peribadi saya mengajar mereka,” katanya.

Bersesuaian dengan judulnya, drama arahan Nuad Othman ini memaparkan bagaimana pengawal peribadi menjaga pelanggan mereka yang terdiri daripada golongan kenamaan.

Selain lima pelakon ini, setiap episod turut dijayakan dua pelakon undangan sebagai penampilan istimewa.

Ia sekali gus menjadikan drama ini antara karya termahal pernah dihasilkan A Aida Production di mana ia menelan belanja RM700,000.

Bodyguard mengisahkan Fariz lakonan Fattah, Rayyan (Azrel), Daniel (Idris) dan Rahul (Lan) bekerja di bawah agensi pengawal peribadi milik Natasha (Farahdhiya).

Fariz menjalin hubungan cinta dengan majikan mereka tanpa pengetahuan rakan lain. Dalam diam, Rayyan turut menyukai Natasha.

Rayyan meminta bantuan Fariz untuk menambat hati majikannya itu dan bermulalah konflik antara mereka.

Pun begitu, tugas sebagai pengawal keselamatan tetap berjalan seperti biasa apabila agensi itu menerima banyak permintaan pelanggan.

Setiap pelanggan datang dengan pelbagai masalah. Ia menjadikan tugas mereka lebih mencabar dari semasa ke semasa.

Dalam satu kejadian, Rahul meninggal dunia akibat terkena tembakan. Tempatnya digantikan dengan Basri lakonan Sabhi Saddi.

Cabaran buat aksi sendiri

Memaparkan lebih 60 peratus adegan aksi, drama Bodyguard ini antara karya yang mencabar pernah dibintangi pelakon Azrel Ismail.

“Dalam drama ini saya melakonkan watak Rayyan, seorang pakar bom dalam pasukan pengawal keselamatan itu. Boleh dikatakan kebanyakan babak aksi saya lakukan sendiri seperti berlawan dan menembak.

“Disebabkan itu saya perlu sentiasa tampil fit kerana ia membabitkan babak aksi. Dari segi bentuk badan saya tak ada masalah kerana dari dulu lagi me­ngamalkan aktiviti bersenam di gimnasium,” katanya.

Bagi menghidupkan lagi watak itu, Azrel perlu tampil kemas seperti pengawal keselamatan sedia ada.

“Sebelum memulakan penggambaran drama ini, saya banyak menonton filem aksi luar sebagai bahan rujukan. Bukan nak meniru, tapi nak melihat teknik dan pergerakan mereka,” katanya.

Tambah Azrel lagi, meski gandingannya kali ini adalah pelakon lelaki, tetapi dia mudah mencipta keserasian.

“Ini kali pertama saya berlakon di samping pelakon lelaki sebagai teraju utama dan bukannya wanita. Tak sukar nak mencipta keserasian de­ngan mereka sebab kami sudah pernah bekerjasama sebelum ini.

“Begitu juga dengan pengarah dan produksi, ini kerjasama kedua kami. Jadi masing-masing sudah tahu apa perlu dilakukan,” katanya.

Bagi Idris Khan, 27, berlakon di dalam drama ini memberi satu pengalaman baru untuknya.

“Watak sebegini antara watak idaman saya. Apabila ditawarkan projek ini, saya terus menyatakan persetujuan. Sebagai pelakon baru, saya perlu mencuba pelbagai genre.

“Selain karyanya yang bagus, pelakon yang terbabit juga sangat menyenangkan. Jadi kami tak ada masalah nak bekerjasama,” katanya yang kali kelima bekerjasama dengan produksi A Aida.

Menerusi drama ini Idris melakonkan watak Daniel selaku pakar IT.

“Sama macam pelakon lain, kebanyakan babak aksi saya lakonkan sendiri. Walaupun tidak menghadiri kelas khusus, pembantu peribadi ba­nyak mengajar saya berkenaan teknik mempertahankan diri,” katanya.

Sementara itu, Lan Siro yang sudah berpengalaman melakonkan watak aksi me­ngakui tidak berdepan sebarang masalah melakonkan watak Rahul.

“Saya berani menerima tawaran ini kerana sebelumnya sudah ada pengalaman berlakon dalam cerita aksi. Jadi, ketika di lokasi pengarah memberi kelonggaran kepada saya untuk menampilkan babak aksi sendiri.

“Selain itu, saya perlu berlatih di gimnasium bagi mendapatkan stamina. Ia perlu kerana babak aksi sangat sukar dan berdepan dengan risiko,” katanya.

Tambah Lan, drama ini sesuatu yang unik kerana tidak banyak produksi tempatan berani melabur bagi menerbitkan karya bergenre aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 12:32 PM