MAMEE Jonker House tawar keseronokan tersendiri.
MAMEE Jonker House tawar keseronokan tersendiri.
Oleh Suliati Asri


Mencipta resipi mi cawan sendiri dan menghasilkan snek Mamee lazat nyata sesuatu yang cukup menggembirakan. Tidak mengira usia, aktiviti seumpama ini bukan saja memberikan keseronokan, tapi juga sesi pembelajaran bermanfaat.

Kembali ke tahun 1971 sebelum memasuki rumah Lil Monter yang penuh warna-warni dan muzium kecil kemudian menjamu selera dengan pelbagai menu mengujakan turut meninggalkan kenangan tersendiri.

Itulah yang pastinya dirasai saat berkunjung ke Mamee Jonker House, Melaka.

Dibuka pada 8 Ogos 2013, Mamee Jonker House ini cukup terkenal sebagai lokasi menjamu selera dan membeli pelbagai barangan cenderahati.

Namun, tidak ramai yang mengetahui di dalam Mamee Jonker Street ini menyimpan 1,001 keseronokan yang sememangnya cukup mengujakan.

Pengarah Mamee Jonker House Kelly Lim berkata, penduduk Melaka sememangnya tahu produk Mamee asalnya dari negeri bersejarah ini.

Bagaimanapun, pelancong luar Melaka termasuk pelancong asing tidak mengetahui Mamee adalah produk tempatan yang sudah bertaraf antarabangsa.

“Mamee Jonker House ini adalah cetusan idea saya dan juga Ketua Pegawai Eksekutif Mamee Double Decker (M) Sdn Bhd Tan Sri Pang Tee Chew bertujuan memperkenalkan produk di bawah kumpulan ini di samping mendekatkan kami kepada masyarakat.

“Jadi, dengan adanya Mamee Jonker House ini, pengunjung bukan saja berpeluang mengenali kami secara lebih dekat, tapi merasai keseronokan yang ditawarkan terutama aktiviti yang disediakan di sini, katanya.

Mengunjungi Mamee Jonker House di Bandar Hilir ini, anda pasti berasakan ia bukan hanya kedai yang menjual pelbagai barangan cenderahati dan kafe dengan aneka jenis makanan.

Hanya membayar RM5, anda berpeluang meneroka di dalam muzium kecil yang ternyata menyimpan pelbagai khazanah mengenai produk Mamee yang tidak ramai tahu.

Memulakan penerokaan di Mamee Jonker House yang dipecahkan kepada lima segmen ini termasuk suasana kedai runcit sekitar tahun 1971 menemui anda di pintu hadapan. Turut dinamakan ‘time tunnel,’ kedai runcit ini memperlihatkan pelbagai jenis barangan runcit termasuk mi kering Mamee yang pertama.

Ia bagaikan membawa kita ke zaman 1971 yang de–ngan suasana kedai yang diperbuat daripada kayu dan barang yang dipamerkan juga sukar ditemui hari ini.

Segmen kedua, Galeri World of Good Taste memberi anda peluang berhibur di rumah Mamee Monster yang pertama di negara ini. Berlatarkan suasana berwarna-warni, anda juga berpeluang mengenali maskot snek Mamee yang cukup unik dan ‘ganas’ ini.

Ketahui juga sejarah dan evolusi produk Mamee Double Decker dalam suasana interaktif di Galeri World of Good Taste.

Tatkala melihat sendiri evolusi produk keluaran Mamee Double Decker, anda pastinya kagum dengan kepelbagaian produk yang dihasilkan dan dipasarkan bukan saja di dalam negara malah turut dieksport ke luar negara seperti Australia.

Selesai mengenali sejarah dan produk di bawah Mamee Double Decker ini, Kafe Mamee Jonker House yang menyajikan pelbagai jenis makanan dan minuman dilabelkan sebagai segmen ketiga di dalam Mamee Jonker House ini.

Antara sajian tradisi yang lazat termasuk Laksa Kari Mamee Chef, Mee Goreng Mamak Mamee dan resipi tradisi istimewa Nasi Ayam Hainan selain aneka pencuci mulut. Semua sajian mendapat pensijilan halal JAKIM.

Jika inginkan keseronokan lain di tingkat atas kedai ini pula turut menempatkan segmen keempat Dapur Lil Monster dan segmen kelima, Noodle Doodle.

Menerusi Dapur Lil Monster, dengan bayaran RM15, anda berpeluang membuat snek Mamee sendiri bermula dengan memproses menguli tepung, merebus, menggoreng hingga snek itu siap dibungkus.

Bagi aktiviti di Dapur Lil Monster ini, anda perlulah membuat tempahan terlebih dulu dengan peserta minimum enam orang hingga 18 orang maksimum.

Aktiviti yang mengambil masa sejam setengah ini juga hanya mempunyai tiga sesi iaitu antara 11 pagi, 1 petang dan 3 petang.

Selesai membuat snek, dengan bayaran RM3.50 seorang, tanpa tempahan anda berpeluang mencipta resipi mi cawan sendiri di Noodle Doodle.

Dibekalkan satu mi cawan tanpa isi, anda diberi peluang menghias cawan mi mengikut kreativiti sendiri sebelum ke bahagian dapur dan mencipta resipi mi cawan sendiri.

Selesai menjelajah dan menikmati hidangan istimewa di sini, membeli produk terpilih Mamee serta cenderahati termasuk kemeja-T edisi terhad sebagai kenang-kenangan melengkapkan penjelajahan anda di Mamee Jonker Street, Melaka ini.

Justeru, bagi anda yang tengah mencari lokasi untuk dilawati hujung minggu ini, Mamee Jonker Street ini pasti tidak mengecewakan anda.

Maklumat lanjut, layari www.mameejonkerhouse.com dan ikuti laman sosial Facebook serta Instagram @mameejonkerhouse untuk perkembangan terkini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 2:41 PM