AMIRUL (tengah) dan Aiman (lima dari kanan) bangga dengan pencapaian masing-masing.
AMIRUL ketika bertanding dalam permainan siber FIFA 16.

Oleh Hazril Md. Nor

HAZRIL MD NOR kagum dengan semangat dua anak muda yang komited dalam pertandingan permainan siber diadakan baru-baru ini.

Ibarat berada dalam dunia fantasi sebenar, Permainan Siber Malaysia berlangsung pada 11 hingga 13 Disember lalu di Stadium Negara mengumpulkan empat jenis permainan siber digilai anak muda masa kini.

Selain pertandingan Dota 2 mencuri tumpuan penonton, permainan seperti Coun­ter Strike Global Offensive (CS:GO), FIFA 16 dan Ultimate Street Fighter IV disajikan kepada anak muda yang dahagakan kelainan.

Ikuti temu bual penulis bersama dua anak muda yang dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan kategori CS:GO dan FIFA 16.

Taruh harapan

“Saya berharap CS:GO lebih diterima ramai dan dijulang sama seperti Dota 2,” kata Nor Aiman Nor Azham, 22 yang membawa pulang wang tunai RM30,000 sebagai juara pertandingan CS:GO.

Menurutnya, dia percaya wang tunai terkumpul lebih banyak untuk permainan berkonsepkan senjata api itu membuatkan ia semakin dikenali malahan ­masyarakat mula menunjukkan minat dalam sukan elektronik sedemikian.

“Sejak dulu lagi kejohanan CS:GO tidak menawarkan hadiah utama yang berbaloi kepada pemain sekali gus membuat­kan keinginan mereka untuk bertanding dalam kejohanan akan datang terkubur begitu saja. Namun, pada Permainan Siber Malaysia lain pula kisahnya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur suara komuniti didengari dan cukup teruja kerana Permainan Siber Malaysia membuktikan permainan alam maya selain Dota 2 wajar diberi penekanan dari segi popularitinya dan hadiah utama,” katanya.

Sebagai pemain ‘game’ sepenuh masa, Aiman berharap pasukannya (MVP Karnal) terpilih untuk mewakili Malaysia jika diberi peluang.

“Apabila kita komited dalam sesuatu, pastinya kita inginkan kejayaan lebih besar. Justeru, saya berharap pasukan MVP Karnal terpilih untuk mewakili Malaysia dalam kejohanan sukan elektronik di luar negara suatu hari nanti menerusi ‘platform’ permainan siber seumpama ini,” katanya.

Bangga dengan pencapaian

Bukan sekadar handal menggelecek bola di padang, tapi remaja ini bijak me­ngawal karakter mengendali bola dalam permainan siber FIFA 16. Buktinya, Nur Amirul Affandi, 21, dinobat sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai RM10,000 sewaktu bertanding di Permainan Siber ­Malaysia.

Katanya, walaupun kerap kali menjuarai pertandi­ngan permainan siber kategori bola sepak itu, perjalanan untuk menggapai kejayaan hari ini bukanlah mudah malah mempunyai banyak rinta­ngan.

“Ramai orang kata bermain ‘game’ tampak mudah, namun ia antara permainan yang memerlukan fokus dan latihan. Selepas perlawanan habis, saya akan mengulang kembali video dan perbaiki kesilapan.

“Untuk memantapkan kemahiran mengawal ­karakter pula, saya akan menghabiskan masa tiga jam sehari bermain bersama ahli lain dalam pasukan yang sama (Infinite),” katanya yang pernah mewakili Malaysia dalam permainan FIFA 16 bagi kejohanan Game Start Asia di Singapura.

Menurut Amirul, sungguhpun Dota 2 terkenal dengan konsep strategi, FIFA 16 juga me­ngetengahkan ciri permainan yang sama.

“Dalam FIFA, pemain harus memerhati setiap gerakan bola setiap masa. Justeru, kita perlu merancang strategi dengan segera kerana setiap saat begitu berharga untuk memenangi perlawanan,” katanya.

Sementara itu, pasukan SatuDuaTiga ­dinobatkan sebagai pasukan TARING dan membawa pulang wang tunai RM125,000. Difahamkan, mereka akan mewakili Malaysia dan menjadi pasukan ­rasmi untuk berentap dalam kejohanan sukan elektronik Dota 2 di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 3:21 PM