Presiden MOM Tan Sri Tengku Imran Tuanku Ja'afar menyampaikan plak kepada Dr Jegathesan (kiri). Foto NSTP/OSMAN ADNAN
Presiden MOM Tan Sri Tengku Imran Tuanku Ja'afar menyampaikan plak kepada Dr Jegathesan (kiri). Foto NSTP/OSMAN ADNAN

Kuala Lumpur: Bekas pelari pecut Olimpik, Tan Sri Dr M Jegathesan dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Dr Jega juga dikenali sebagai 'Flying Doctor' kerana kelajuan luar biasa lariannya, dinamakan sebagai lelaki terpantas di Asia selepas meraih pingat emas dalam acara 100m, 200m dan 4x100m lelaki pada Sukan Asia Bangkok 1966.

"Saya rasa terharu kerana ini adalah sesuatu yang baharu dan agak memeranjatkan sebab mereka (MOM) mengadakan anugerah ini dan memilih saya sebagai penerima pertamanya. Saya berdamping rapat dengan sukan sejak sekian lama.

"Ini adalah suatu tanda ingatan kepada saya bagi semua peranan berat yang telah saya mainkan dalam MOM - sebagai atlet, Chef de Mission, doktor pasukan dan wakil dalam pelbagai badan antarabangsa," katanya selepas Majlis Jamuan Malam Tahunan dan Penyampaian Anugerah ke-23 MOM di Wisma OCM, semalam.

Beliau juga mengambil bahagian dalam tiga Sukan Olimpik secara berturut-turut ketika itu, yang dianggap sebagai era kegemilangan olahraga Malaysia - edisi 1960 di Rome, edisi 1964 di Tokyo dan edisi 1968 di Mexico. Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 7:02 PM