Rabi 'Atul mengungguli kategori Anugerah Laporan Berita (Bahasa Malaysia) Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2015, malam tadi. FOTO Jeakqleyn Yacho
Oleh Nurul Hidayah Bahaudin


Kuching: Harian Metro (HM)Sarawak mengekalkan kemenangan dua tahun berturut-turut apabila sekali lagi mengungguli kategori Anugerah Laporan Berita (Bahasa Malaysia) Anugerah Kewartawanan Kenyalang 2015 menerusi wartawan, Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail, malam tadi.

Rabi 'Atul memenangi kategori itu menerusi 20 siri laporan Tragedi MH17 yang mengorbankan enam sekeluarga dan seorang lelaki berasal dari Sarawak pada tahun lalu.

Laporan berkenaan dibuat hasil kerjasama dengan rakan sekerja di Biro HM Sarawak.

Dengan kemenangan itu, Rabi 'Atul membawa pulang wang RM3,000 dan sijil kemenangan. Hadiah disampaikan Pengarah Urusan See Hua Group, Datuk Henry Lau.

Turut hadir, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Charmil Wariya.

Anugerah Kewartawanan Kenyalang yang ke-27 itu ditaja Shell Malaysia Bhd, Sarawak Energy dan Sarawak Hidro.

Tahun lalu, Rabi 'Atul menggungguli kategori sama menerusi laporan Tragedi Bot Karam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 12:08 AM