MOHD Nor (kiri) bersama sebahagian pemain Kelab TMS Old Boys memperagakan trofi kejohanan.
Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Sebanyak 32 pasukan lelaki dan wanita dari Negeri Sembilan dan Lembah Klang bakal berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Akar Umbi 2015 (KEBSAU 2015) di Stadium Mini Kuala Pilah, 27 Disember ini.

Kejohanan anjuran Kelab Bola Sepak TMS Old Boys bagi merebut Piala Yayasan Qaseh dan TMS Old Boys membabitkan kategori bawah 8, 10 dan 12 tahun.

Pengerusi penganjur Mohd Nor Azam berkata, selain dua trofi dipertaruhkan, buat julung kalinya wang tunai keseluruhan RM1,000 turut ditawarkan.

Katanya, kejohanan itu sebahagian daripada usaha mencungkil bakat baru dari kalangan akar umbi bagi melahirkan pemain berbakat masa depan.

“Tugas mencari ikon bola sepak tidak seharusnya diletakkan semata-mata kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama di peringkat akar umbi,” katanya.

Mohd Nor berkata, pihaknya menjangkakan saingan kali ini lebih sengit kerana membabitkan beberapa pasukan berpengalaman terutama dari Lembah Klang pernah menjuarai beberapa kejohanan sebelum ini.

“Saya berharap kejohanan ini menjadi landasan terbaik membangunkan bola sepak kerana pemain muda berbakat ini perlu diasah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 9:06 AM