PHILBRICK sukakan kelainan.
PENARI balet beraksi di aras tinggi.
PEMANDANGAN indah dirakamkan.
PENGANTIN memilih tema filem animasi Frozen.

Bayangkan merakamkan detik manis perkahwinan dengan cara paling ekstrem bergayut lebih 100 meter di hujung cenuram.

Jurugambar, Jay Philbrick menawarkan pasangan pengantin album perkahwinan unik, termasuk Kevin Coleman dan isterinya Christie Sulkoski yang mungkin juga menguji kepercayaan antara mereka.

Dalam beberapa gambar, Christie dilihat seolah-olah cuma memaut tangan Coleman sebagai sokongan dari cenuram setinggi 106 meter dari tanah.

“Kami menurunkan pasangan itu menggunakan tali ke satu belebas memakai pakaian pengantin dengan peralatan keselamatan turut digunakan untuk memastikan tiada risiko ketika penggambaran.

“Pengantin perempuan mempunyai pilihan sama ada memakai gaunnya selepas selamat menjejakkan kaki di belebas itu, atau sebelum diturunkan. Terpulang pada keselesaannya,” kata Philbrick.

Menurutnya, ramai pasangan pengantin menggunakan khidmatnya untuk memperoleh gambar yang lain daripada yang lain, dan rata-rata mereka meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya menghasilkan karya unik.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai malim gunung berkata, pengalaman itu membantunya dalam memastikan langkah keselamatan terjaga dalam pada mendapat gambar dikehendaki.

“Selalunya sesi penggambaran menyeronokkan dan tidak bermasalah. Selepas pasangan diturunkan ke tempat dikehendaki, saya mengarahkan mereka membuat pelbagai gaya selain mengambil gambar dari sudut berbeza untuk kepelbagaian.

“Saya sendiri ‘bergayut’ untuk mendapat sudut yang sesuai. Kami tidak menggunakan ‘Photoshop’, sebaliknya memastikan sudut digunakan tidak menunjukkan sebarang peralatan keselamatan dalam gambar,” katanya.

Sesi penggambaran lazimnya mengambil masa 90 minit di White Mountains, Amerika Syarikat dengan bantuan isteri Philbrick, Vicki, selain kadangkala mendapat bantuan seorang lagi malim untuk membantu dengan pencahayaan.

Menurut Philbrick, dia kali pertama melakukan penggambaran ekstrem pada 2008 selepas pasangan pe­ngantin yang mengupahnya sebagai jurugambar memaklumkan bahawa mereka juga pendaki gunung.

Namun dia mengakui pernah sekali seorang wanita yang pada mulanya bersemangat mengambil gambar, tiba-tiba kegerunan selepas melihat ketinggian cenuram yang mahu digunakan.

“Selepas gagal memujuknya, kami memutuskan untuk menukar lokasi. Tiada masalah.

“Apa yang penting ialah memastikan sesi bermula sebelum matahari terbit supaya mendapat pencahayaan yang sempurna selepas pasangan terbabit berada di kedudukan dikehendaki.

“Walaupun cuaca berkabus, ada saja cara untuk mendapatkan gambar yang cantik,” katanya.

Philbrick berkata, dia juga menawarkan khidmat penggambaran seumpama itu untuk sesiapa saja yang berminat termasuk penari serta model yang mencari kelainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:01 AM