SUV kompak baharu.
Oleh Erywan Norshal


Lebih 700 unit tempahan dibuat bagi model baharu Mazda CX-3 membuktikan ia kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang menarik untuk dimiliki.

Dengan yang ditawarkan harga RM135,143 seunit atas jalan termasuk insurans, tidak sedikit pun terjejas kemahuan mereka untuk memilikinya biarpun ada lagi SUV kompak dijual lebih murah daripada itu.

Bagi menyesuaikan dengan harga itu, Mazda CX-3 sebenarnya adalah model import sepenuhnya (CBU) dari kilang Mazda di Ujina, Hiroshima, Jepun.

Ia juga menggunakan enjin Skyactiv-G bersesaran 2.0 liter yang menjana 154 kuasa kuda (hp) dengan tork 204 di mana disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik enam kelajuan.

Jentera yang dibina di atas platform Mazda2 itu adalah model kelima dalam rangkaian kenderaan generasi baharu jenama berkenaan mengaplikasikan rekaan berkonsepkan ‘KODO-Soul of Motion’.

SUV kompak itu sesuai untuk pemanduan urban apabila berukuran 4.275 meter (m) panjang, 1.765 m lebar dan 1.535 m tinggi dengan berat 1,211 kilogram.

Penampilannya diserlahkan lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu kabus LED depan belakang.

Ia turut menggunakan rim aloi bersaiz 18 inci dan bumbung suria dengan lima pilihan warna luaran iaitu merah, putih, hitam, kelabu serta biru.

Ruang kabinnya hampir sama dengan Mazda2 di mana konsol tengah papan pemuka dilengkapi sistem ketersambungan MZD Connect , skrin sentuh bersaiz tujuh inci dan ‘Commander Control’ serta dilengkapi ‘Head-Updisplay’ (HUD).

Tempat duduknya dibaluti kulit suede hitam de­ngan jahitan kontras berwarna merah, penyaman udara automatik sepenuhnya, kamera undur, butang pemilihan pemanduan, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin.

Bagi pengendalian lebih mantap, ia menggunakan Casis-Skyactiv dengan sistem suspensi topang MacPherson untuk bahagian hadapan, manakala belakang dilengkapi palang Torsion.

Ia juga dilengkapi Stereng Bantuan Kuasa Elektronik (EPAS) bagi pengendalian yang lebih optimum.

Dari aspek keselamatan pula, SUV kompak itu dibekalkan dengan enam beg udara, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), kawalan cengkaman, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), bantuan brek dan bantuan mula mendaki.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh berkata, pada peringkat awal sebanyak 2,000 unit Mazda CX-3 CBU akan ditawarkan dan sejak tempahan dibuka beberapa bulan lalu, lebih 700 unit ditempah.

Menurut beliau, pihak­nya sedang mengkaji sama ada akan melakukan pemasangan tempatan (CKD) Mazda CX-3 di Malaysia, tetapi ia bergantung kepada permintaan daripada pasaran tempatan.

“Selain Jepun, Mazda CX-3 turut dipasang di Thailand, tetapi kami tidak bawa masuk ke Malaysia kerana kandungan tempatannya tidak mencapai 40 peratus bagi membolehkan menikmati pengecualian tarif Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA),” katanya.

Mazda CX-3 turut didatangkan dengan tempoh jaminan tiga tahun tanpa perbatuan terhad dan Program Penyelenggaraan Percuma selama tiga tahun atau 60,000 km.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:02 AM