Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Semangat pemain Selangor untuk menghadapi saingan musim depan pastinya melonjak naik apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengumumkan setiap pemainnya akan menerima durian runtuh RM50,000 setiap seorang dalam tempoh terdekat ini.

Perkara itu disahkan sendiri pengurus pasukan Amirudin Shari (gambar) selepas pihaknya mendapat lampu hijau daripada Presiden FAS merangkap Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

Jelasnya, insentif itu tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap pemain dan pegawai pasukan atas kejayaan melakar sejarah muncul juara Piala Malaysia buat kali ke-33 sekali gus menamatkan Misi 33 sejak 2005.

“Kami sudah mendapat persetujuan daripada pucuk pimpinan tertinggi FAS dan kerajaan negeri yang mana kami akan berikan insentif RM50,000 setiap pemain kerana menjuarai Piala Malaysia.

“Semoga insentif ini dapat menyemarakkan motivasi pemain dan pasukan untuk terus memberi yang terbaik khasnya saingan musim depan yang saya kira lebih mencabar dan sengit,” ketika ditemui pada Siri Jelajah Pasukan Selangor di Dataran Ilmu Bandar Baru Selayang, semalam.

Dalam perkembangan sama, Amirudin mengucapkan terima kasih kepada penyokong setia skuad Merah Kuning yang hadir memeriahkan siri jelajah pasukan itu di empat zon terpilih yang berakhir semalam.

“Ini jelajah kami yang keempat selepas memulakannya di zon utara (Kuala Selangor) pada Jumaat lalu sebelum bersambung hingga ke hari ini (semalam).

“Saya lihat keempat-empat lokasi kunjungan lebih kurang 15,000 pengunjung yang hadir. Saya memang menjangkakan sokongan luar biasa dan saya harap sokongan sebegini dapat diteruskan hingga musim depan,” katanya.

Ujarnya lagi, pasukan akan diberikan cuti selama dua hingga tiga minggu sebelum memulakan latihan bagi persiapan menghadapi saingan Piala Sumbangsih dan Liga Super pada hujung Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:04 AM
Digital NSTP Subscribe