Kenyataan daripada Twitter MAHB
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Masalah teknikal yang dihadapi perkhidmatan aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira 1 tengah hari tadi menyebabkan ratusan penumpang terkandas di terminal utama.

Bagaimanapun, masalah itu sudah dapat diatasi dalam tempoh dua jam dan perkhidmatan aerotrain sudah beroperasi seperti biasa pada 2.58 petang.

Jurucakap MAHB berkata, pihaknya menyediakan perkhidmatan bas dari terminal utama untuk membolehkan penumpang ke bangunan satelit yang menempatkan balai pelepasan antarabangsa.

"Pengumuman dibuat setiap lima minit untuk memudahkan penumpang. Kami memohon maaf di atas segala kesilapan yang berlaku. Pasukan kami bekerja keras untuk membaiki kerosakan itu dengan kadar segera.

"Penumpang dinasihatkan mendapatkan maklumat daripada pejabat khidmat pelanggan untuk bantuan selanjutnya,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 5:18 PM