DR Al Azmi (dua dari kanan) bersama Ong (enam dari kiri) memotong riben bagi merasmikan bangunan Smart Reader, semalam.
DR Al Azmi (dua dari kanan) bersama Ong (enam dari kiri) memotong riben bagi merasmikan bangunan Smart Reader, semalam.

Kuala Lumpur: Smart Reader WorldWide Sdn Bhd (Smart Reader), francais pendidikan awal kanak-kanak menembusi pasaran global menerusi pembukaan cawangan di Australia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Richard Ong berkata, inisiatif mengembangkan rangkaian tadika Smart Reader adalah bukti kepada kualiti pendidikan ditawarkan untuk kanak-kanak di dalam dan luar negara.

Beliau berkata, silibus digunakan Smart Reader bertaraf antarabangsa serta disahkan bermutu tinggi berdasarkan pengiktirafan beberapa badan antarabangsa dan tempatan seperti Anugerah Pendidikan Global Luar Biasa 2014 dan Anugerah Emas Paling Dipercayai Reader’s Digest pada 2013.

“Seperti kita sedia maklum, penggunaan silibus kita akan diselarikan berdasarkan lokasi itu sendiri. Di Malaysia, kita terapkan nilai murni dan kenegaraan tempatan manakala bagi di negara lain, ia akan mengikut budaya dan gaya pembelajaran di sana.

“Dengan pembukaan cawangan antarabangsa di Australia, kita menawarkan pakej program meliputi bahasa Inggeris dan Mandarin supaya memenuhi keperluan dan permintaan di negara berkenaan,” katanya selepas majlis pelancaran bangunan Smart Reader Worldwide di sini, semalam.

Bangunan baru itu bertindak sebagai pusat sehenti tadika yang beroperasi sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak, namun perpustakaan dan pusat pembelajaran integrasi dengan pelbagai alat bantuan mengajar.

Richard berkata, pusat sehenti tadika yang dibangunkan dengan nilai pelaburan RM250,000 itu terletak dalam kawasan Kolej Antarabangsa SRI menjadikannya tadika korporat pertama di dalam kawasan kolej swasta diiktiraf Malaysia Book of Records.

Beliau berkata, Smart Reader merancang membuka cawangan baru di Medan, Indonesia dan Oman, Qatar, Nigeria dan Turki tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 6:20 AM