Oleh Kamaruzaidi Kamis dan Che Wan Badrul Alias

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Bhd (TM) merancang menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi entiti baharu pengganti Program Transformasi GLC (GLCT) untuk menyumbang kepakaran mentransformasi entiti korporat Malaysia.

Ia bertepatan dengan kepakarannya yang diiktiraf cemerlang melangkaui pencapaian industri dalam melaksanakan beberapa siri transformasi dari jabatan kerajaan sehingga muncul gergasi telekomunikasi paling disegani di peringkat serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, entiti pengganti itu akan distruktur seperti kelab dengan penyertaan lebih terbuka tanpa terhad kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata, entiti bukan GLC dan syarikat swasta boleh mengikuti mana-mana model transformasi berkesan yang ditawarkan kelab mengikut keperluan bidang dan sasaran yang ingin dicapai kelak.

“Bermakna mereka boleh mengambil model diperlukan dan bukannya mengikuti program transformasi ini sebagai program berstruktur.

“Kami belum ada rangkanya kerana ia bermula tahun depan. Saya cuba mengurangkan struktur kelab supaya lebih bebas, apatah lagi selepas 10 tahun GLCT, kami ada idea bernas jika boleh bergabung kekuatan.

“Dengan menjadikannya lebih terbuka, kami mungkin boleh menjemput syarikat bukan GLC lain seperti PROTON dan PETRONAS untuk menyertainya kerana mereka memiliki program hampir sama yang boleh dijadikan panduan,” katanya dalam temubual bersama wartawan kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelantikan TM menerajui entiti baharu selepas Khazanah Nasional Bhd diumumkan susulan kejayaannya menduduki tempat teratas, mengatasi semua peserta Program Transformasi selama 10 tahun yang berakhir, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 6:21 AM