KERETA dipandu Redza terbabas dekat Terowong Menora. FOTO ihsan Redza Rosli
KERETA dipandu Redza terbabas dekat Terowong Menora. FOTO ihsan Redza Rosli
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Pelakon Redza Rosli, 23, luka di bahagian muka, tangan dan kaki selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Terowong Menora, dekat Ipoh, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, kereta dipandu Redza rosak teruk selepas terbabas ke bahagian kiri lebuh raya.

Redza ketika dihubungi berkata, ketika kejadian dia memandu dengan kelajuan kira-kira 80 kilometer sejam berhampiran terowong berkenaan.

"Kejadian berlaku terlalu pantas sebelum kereta saya terbabas.Saya mengalami luka di bahagian muka, tangan dan kaki manakala kereta pula rosak teruk,” katanya.

Menurut Redza, dia dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Perlis selepas selesai menjalani penggambaran drama Kak Mar.

Turut berada di tempat kejadian ialah pelakon Izreen Azminda dan Sherry Ibrahim yang berkonvoi bersama pelakon itu.

Redza yang popular dalam drama bersiri MAID kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 11:04 AM