BERHARAP dipertemukan dengan insan ikhlas menyayanginya dan 2 anak lelaki.
BERHARAP dipertemukan dengan insan ikhlas menyayanginya dan 2 anak lelaki.
Oleh Michelle Gun


Sebelum ini, tersebar khabar angin mendakwa Rita Rudaini sudah mempunyai kekasih baru selepas selebriti jelita itu berkongsi beberapa keping gambar berserta kapsyen yang membayangkan sedang dilamun cinta di laman sosial.

Ketika ditemui baru-baru ini, Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 39, menegaskan dia belum berpunya.

Jelas pelakon itu lagi, kata-kata cinta pada gambar yang dimuat naik pada akaun Instagram miliknya sebenarnya berkaitan produk minyak wangi yang dilancarkan Sabtu lalu.

“Sebenarnya, cinta yang dimaksudkan adalah minyak wangi itu dan saya mengambil masa dua tahun untuk menghasilkan produk ini,” katanya.

Walaupun sekadar gimik, Rita terharu apabila ramai meninggalkan komen mendoakan kebaikannya di laman sosial.

“Peminat memberitahu mereka ingin melihat saya bahagia dan doa itu membuatkan saya gembira.

“Malah, saudara-mara dan jiran di kampung ingat saya akan berkahwin kerana merahsiakan produk itu. Hanya adik-beradik saya saja tahu mengenainya,” katanya.

Biarpun belum bersedia bercinta, Rita berharap dipertemukan dengan insan terbaik yang ikhlas menyayangi dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.

“Sekarang saya masih solo, namun itu bukan bermakna saya serik bercinta lagi, cuma penat perlu menjaga hati orang.

“Pun begitu, saya minta peminat terus mendoakan saya bertemu jodoh yang menyayangi saya dan anak,” katanya.

Anak ingin main salji

Berkongsi cerita mengenai dua puteranya, Rita merancang membawa Rayyan dan Arjuna melancong ke Melbourne, Australia pada Jun tahun depan.

“Cuti sekolah ini saya tidak sempat bawa mereka bercuti kerana sibuk menguruskan perniagaan.

“Tambahan pula saya akan memulakan penggambaran drama Ahli Mesyuarat Tingkap pada bulan depan.

“Jadi, saya akan bawa mereka bercuti pada Jun nanti,” katanya.

Menurut Rita, Melbourne menjadi destinasi pilihan kerana mahu anaknya menikmati musim sejuk.

“Anak sudah melihat London Bridge, Eiffel Tower dan bermain di Disneyland.

Kali ini, mereka beritahu teringin bermain salji,” katanya.

Sibuk menguruskan kerjaya seni dan perniagaan, Rita bertuah kerana ibunya membantu menjaga anak di rumah.

“Saya tidak mahu bergantung kepada orang gaji untuk menjaga anak kerana lebih selesa menguruskan mereka sendiri.

“Syukur ada ibu membantu jaga Rayyan dan Arjuna ketika saya keluar bekerja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 11:55 AM