MAYAT mangsa ditemui terdampar di tepi pantai. FOTO ihsan Bomba
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Bintulu: Pelajar lelaki berusia 15 tahun yang lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Batu, di sini petang semalam ditemui terdampar di tepi pantai, kira-kira 80 meter dari lokasi kejadian, 6.30 pagi tadi.

Mayat Kevin Gimang Ungah, ditemui anggota bomba di tepi pantai ketika ingin memulakan operasi mencari dan menyelamat.

Ketua Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di Hata Gobel berkata, mayat mangsa dipukul ombak dan terdampar di tepi pantai.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Kevin lemas dipercayai akibat ditarik ombak ketika mandi di pantai bersama rakan kira-kira 5 petang semalam.

Dalam kes berasingan, Di Hata berkata, pelajar Faizal Jakaria, 15, yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Sebauh di sini, kira-kira 5 petang semalam , masih belum ditemui.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 1:02 PM