LEONG Mun Yee. FOTO L Manimaran
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

 

Ipoh : Atlet terjun kebangsaan, Leong Mun Yee, dipilih penerima Anugerah Khas sempena Anugerah Sukan Negeri Perak 2013/2014, di Hotel [email protected] di sini malam tadi.

Mun Yee, 31, dipilih menerima anugerah berkenaan sebagai mengiktiraf dan menghargai pencapaian cemerlang sepanjang pembabitan dalam sukan terjun diperingkat tempatan serta antarabangsa.

Dia pernah merangkul pingat Perak pada Fina Diving World Cup di Shanghai, China dan menduduki tempat keempat pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland tahun lalu.

Sementara itu, pemain hoki kebangsaan, Azlan Misron, 32, dan atlet tenpin boling negara, Sin Li Jane, 23, masing-masing dianugerahkan Olahragawan dan Olahragawati 2013/2014.

Olahragawan serta olahragawati harapan dimenangi pemain golf remaja kebangsaan, Low Khai Jie, 20, dan atlet kapal layar remaja, Nornabila Natasha Mohd Nazri, 13.

Keluarga Sin Yew Khong pula dipilih sebagai penerima Anugerah Keluarga Sukan berdasarkan pembabitan isterinya, Ho Chee Ling yang juga bekas atlet bola tampar negeri sementara semua anaknya Sin Ken Mun, Sin Kar Mun dan Sin Li Jane adalah atlet dalam acara tenpin boling.

Anugerah pasukan terbaik pula dimenangi pasukan hoki lelaki Piala Tun Abdul Razak 2014 yang muncul juara pada 2013 dan 2014.

Penerima Anugerah Kepimpinan Sukan dianugerahkan kepada Datuk Abd Rahim Md Arif berdasarkan pembabitan dalam penganjuran Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah mulai 1998 sehingga 2014.

Jurulatih skuad bola baling kebangsaan, Phuah Lai Hock dipilih sebagai penerima Anugerah Jurulatih Terbaik.

Anugerah disampaikan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam pada itu, 13 agensi media turut menerima anugerah khas sempena majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 8:40 AM