DARI kiri Wong, Lynn dan Yen.
DARI kiri Wong, Lynn dan Yen.
Oleh Michelle Gun

Selain Bruce Lee, nama Yip Man yang cukup terkenal dalam dunia seni mempertahankan diri dan kisah legenda kelahiran China itu turut diterbitkan dalam filem berjudul IP Man.

Berikutan sambutan hangat naskhah pertama pada 2008, kisah Yip Man di Hong Kong diteruskan dalam sekuel kedua filem itu pada 2010. Kini, selepas lima tahun berlalu filem IP Man 3 menemui peminatnya di Malaysia esok.

Seperti dua siri lalu, bintang aksi Hong Kong, Donnie Yen kembali sebagai Yip Man manakala Lynn Hung meneruskan wataknya sebagai isteri pakar seni mempertahankan diri itu.

Antara yang menarik dalam filem arahan Wilson Yip itu adalah penampilan khas juara tinju dunia, Mike Tyson dan Bruce Lee. Pastinya peminat ingin mengetahui kenapa produksi IP Man mengambil masa lama untuk mengembalikan kisah itu di layar perak.

Jelas Produser IP Man 3, Raymond Wong, kemunculan filem mengisahkan Yip Man dalam pelbagai versi membuatkan produksi me­ngambil masa lama untuk merancang jalan cerita karya itu.

“Terlalu banyak cerita mengenai Yip Man diterbitkan dan kami bimbang penonton akan keliru sekiranya siri ketiga IP Man turut dikeluarkan sepanjang tempoh itu. Oleh itu, kami tidak mahu terburu-buru dan menggunakan tempoh itu untuk mengembangkan jalan cerita filem ketiga IP Man,” katanya.

Yen ketika ditemui pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini turut menjelaskan filem IP Man bukan dokumentari mengenai kehidupan Yip Man kerana turut mengetengahkan karakter lain.

“Kemunculan Mike (Tyson) mungkin menimbulkan reaksi berbeza, namun saya berharap penonton tidak terlalu cepat menilai sebaliknya fokus terhadap mesej dalam filem ini,” katanya.

Pelakon berusia 52 tahun itu berkata, kehadiran Tyson sebagai peninju bernama Frank bertujuan menarik penonton menyaksikan filem itu.

“Produksi perlu memikirkan pelakon yang boleh menarik lebih ramai penonton ke panggung dan Tyson sememangya sesuai untuk watak Frank,” katanya.

Menceritakan lakonannya sebagai Yip Man, Yen berkata watak itu tidak sukar dan mendapati kehidupan pakar seni mempertahankan diri terbabit lebih kurang sama dengannya.

“Yip Man beristeri dan ada anak. Bagi menjiwai watak, pengarah meminta saya mengaitkan kehidupan saya sebagai seorang suami dan berkeluarga,” katanya.

Watak Tyson di saat akhir

Berkongsi pengalaman bergandingan dengan Tyson pula, Yen adalah peminat peninju legenda itu.

Menurut Yen, tawaran Tyson untuk watak Frank datang secara kebetulan ketika penerbit Raymond Wong menghadiri satu acara di Los Angeles, Amerika Syarikat.

“Mike peminat IP Man dan sudah menonton siri pertama dan kedua filem itu. Pastinya dia teruja apabila ditawarkan berlakon dalam filem ketiga IP Man,” katanya.

Bagaimanapun ketika itu, kata Yen penggambaran sudah pun bermula, namun selepas berbincang dengan pengarah dan penulis skrip, semuanya berjalan lancar.

“Penonton yang menghadiri tayangan perdana IP Man 3 di negara lain memberi maklum balas positif terhadap lakonan Mike dan filem ini secara keseluruhan,” katanya.

Hampir ditumbuk Tyson

Bercerita lanjut, Yen turut mendedahkan dia nyaris terkena tumbukan Tyson beberapa kali ketika melakonkan babak pertarungan.

Menurutnya, babak itu antara cabaran yang dihadapinya berikutan Tyson tidak biasa berlakon dan sukar mengingati pergerakan yang diajar.

“Pergerakan Mike Tyson sangat rumit. Disebabkan itu, kami terpaksa melakukan aksi pertarungan betul. Mujur saya dapat mengelak tumbukannya beberapa kali,” katanya.

IP Man 3 meneruskan kisah kehidupan Yip Man di Hong Kong pada sekitar 1950-an. Ketika itu kumpulan gengster mula menguasai Hong Kong dan kegiatan mereka ditutup sebelah mata oleh pihak penguat kuasa. Filem itu turut memaparkan hubungan Yip Man dengan isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 11:55 AM