HELIZA dan Rosli sebagai ‘ninja’.
Oleh Nor Akmar Samudin


Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, itulah pepatah paling tepat buat Heliza Helmi apabila dapat menjejakkan kaki ke negara Matahari Terbit pada November lalu.

Heliza teringin melihat sendiri budaya dan kehebatan negara itu. Pelbagai cerita didengarnya sebelum ini seperti harga barang terlalu mahal, namun tetap teruja meneroka negara itu.

“Pelawaan Brain Corporation yang mahu membuat rakaman program Panorama (TV1) membuatkan saya tidak sabar ‘terbang’ ke sana. Sudah terbayang di ruang mata keindahan dan keunikan Jepun. Bunga sakura yang menjadi lambang kebanggaan negara itu juga sentiasa mengisi mimpi saya.

“Selain itu, kebersihan dan sikap masyarakat Jepun yang mengamalkan perkara baik yang disarankan Islam menjadi satu lagi daya tarikan kepada saya untuk ke negara itu,” katanya.

Heliza yang sebelum ini mengacarakan program Rasa Halal Antarabangsa bergandingan dengan Penerbit Panorama, Rosli Mohd Nordin sebagai pengacara bersama membuat rakaman di Wilayah Mie.

Walaupun kali pertama bekerjasama, keserasian mereka berdua menjadikan penggambaran di Wilayah Mie berjalan lancar.

Ujar Heliza, kali pertama mendengar nama Wilayah Mie (disebut ‘Mie’yee’) dia terasa janggal dan merasakan tiada apa yang menarik untuk dilawati.

Namun pelawaan daripada Pengurus Besar Brain Corporation, Naomasa Furukawa yang juga wakil daripada produksi Jepun, membuatkan hati penyanyi itu terus tertanya-tanya apa yang ada di negara itu.

Kunjungan mereka turut mendapat tajaan Kementerian Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun.

“Mungkin pelancong Malaysia lebih mengenali Tokyo, Osaka, Kyoto dan Okinawa. Apabila tiba di sana, ternyata Wilayah Mie mempunyai keistimewaan tersendiri. Ia lokasi popular penyelam wanita mencari mutiara (tiram) tanpa menggunakan tangki oksigen dan tiram keluaran wilayah itu dikenali di seluruh dunia.

“Selain itu, Mie turut menawarkan percutian istimewa kepada mereka yang menghargai alam semula jadi khususnya Air Terjun Akame. Kita juga boleh menikmati kesegaran udara kawasan pergunungan dengan pemandangan indah dedaun maple berwarna-warni seolah-olah berada dalam lukisan,” katanya.

Menurutnya lagi, penggambaran hampir 10 hari itu memerlukan mereka berpindah dari satu hotel ke satu hotel, namun ia tidak mematahkan semangat mereka untuk berkongsi detik terindah sepanjang berkampung di wilayah itu.

“Layanan baik setiap pengusaha industri pelancongan di wilayah itu memudahkan tugas kami. Kami sangat selesa dan tidak berasa seperti berada di tempat orang,” katanya.

Rancak berkongsi pengalamannya di sana, antara lokasi pelancongan lain yang dikunjungi adalah Iga-Ueno Park atau Taman Ninja yang terkenal dengan Muzium Ninja, demonstrasi pertarungan Ninja, Istana Ueno dan eksplorasi perjalanan hidup seorang Ninja.

“Kali pertama memakai kostum ninja, saya teruja kerana selama ini kita hanya menonton kehidupan ninja di TV atau dalam filem. Menerusi kunjungan ini saya berpeluang menjalani kehidupan ninja walaupun untuk sehari.

“Uniknya penggambaran edisi khas Panorama Moh Ke Mie ini, saya dan Rosli berpeluang bersolat dengan memakai kostum ninja kerana kami dikehendaki menjayakan beberapa segmen penggambaran yang dirancang penganjur. Saya berpegang kepada prinsip Islam itu mudah, jadi tidak salah untuk membuktikannya di negara yang majoritinya bukan beragama Islam,” katanya.

Mereka turut membuat penggambaran di kilang sos Shoyu (kicap soya) dan sos Sukiyakie (sejenis masakan Jepun) yang mendapat pengesahan halal daripadaPersatuan Halal Jepun, JHA.

Ketika berada di sana, mereka menggunakan khidmat jurubahasa dan koordinator projek khas program itu, Ikram Latif.

Penonton dapat menonton episod khas Panorama, Moh Ke Mie, pada hari ini jam 11 malam di TV1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 11:57 AM