TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kesiapsiagaan menghadapi banjir tahun ini lebih tertumpu ke Sarawak berikutan ramalan menunjukkan keadaan cuaca di negeri itu lebih teruk.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan sudah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ke Sarawak untuk membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (APBN) negeri itu.

"Kami tidak menolak kemungkinan kesiapsiagaan kita kali ini terarah kepada Sarawak kerana cuaca di sana diramalkan teruk.

"Kedua-dua menteri berkenaan akan membantu MKN dan APBN di negeri itu melalui agensi penguatkuasa terbabit," katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden Republik Zambia Inonge Mutukwa Wina di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di sini, sebentar tadi.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan juga akan menggunakan pelan pengurusan banjir di Kemaman sebagai model prosedur operasi standard (SOP) kesiapsiagaan menghadapi bencana di peringkat nasional.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 12:38 PM