Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, sebentar tadi memerintahkan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membayar ganti rugi RM200,000 terhadap bekas Presiden Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Ali, selepas didapati ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas Hasan berjaya membuktikan bahawa Mahfuz ada mengeluarkan kenyataan fitnah dan berniat jahat terhadapnya.

Beliau juga turut memerintahkan Mahfuz membayar kos sebanyak RM30,000 terhadap Hasan.

Pada 12 April 2012 Hasan memfailkan saman mendakwa Mahfuz mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya dalam satu sidang media pada 2 Mac 2012 dan ia diterbitkan di beberapa akhbar serta laman portal.

Oleh itu, Hasan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan satu injunksi bagi menghalang Mahfuz daripada mengulangi kata-kata fitnah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 3:09 PM