Oleh Mohd Fadly Samsudin


Ampang Jaya: Polis menumpaskan kumpulan samun berbahaya dikenali sebagai 'Geng Tiger Loong' apabila menahan tiga lelaki selepas menyamun premis perniagaan di Kampung Tasik Permai Ampang, malam Isnin lalu.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, dalam kejadian 10 malam Isnin lalu geng terbabit masuk ke premis berkenaan dengan membawa senjata parang.

"Suspek kemudian mengacukan parang kepada pekerja sebelum mengambil wang tunai sebanyak RM20,000 dari kaunter kedai berkenaan.

"Hasil siasatan dan maklumat orang ramai, polis mengesan kenderaan yang disyaki digunakan suspek sebelum menahan mereka.

"Semua suspek berusia lingkungan umur 34 hingga 36 tahun. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas wang tunai RM2,363 yang dipercayai hasil rompakan.

"Kumpulan ini didapati aktif melakukan samun sejak September lalu. Hasil tangkapan ini, polis percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes samun di sekitar Ampang Jaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 5:51 PM