DR Sophia (tengah) ketika menjadi pegawai perubatan di hospital.
KENANGAN ketika melancong di luar negara bersama suami dan anak.
PRODUK kecantikan daripada bahan organik yang dihasilkan sendiri.
DR Sophia bercita-cita tinggi untuk menggungguli dunia rawatan kecantikan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Wanita dan kecantikan. Dua perkara ini tidak mungkin dapat dipisahkan dan selalu berkaitan antara satu sama lain diibaratkan nafas bagi setiap wanita.

Definisi kecantikan pula tidak hanya secara fizikal saja. Namun secara umum, wanita sentiasa ingin menampilkan fizikalnya agar kelihatan cantik.

Indikator cantik bagi wanita pula biasanya memiliki kulit mulus, putih bersih serta tubuh langsing dan sudah menjadi fitrah manusia, kebanyakan wanita sangat mementingkan kecantikan, malah jika boleh sehingga usia mencecah 40 tahun ke atas pun, wajah masih mahu kelihatan muda serta bertenaga.

Perkara itu diakui figura ini bahawa wanita tidak dapat lari daripada kecantikan, pasti setiap daripada mereka mendambakan setidak-tidaknya kulit wajah yang berseri untuk tampil berkeyakinan.

Malah, Dr Sophia Yuhanis, 28, mengakui dia terbabit dalam bidang kecantikan kerana minatnya yang mendalam dalam bidang itu selain kurangnya doktor bertauliah dalam bidang kecantikan dan estetik.

Meskipun menyedari tanggapan negatif masyarakat luar terhadap doktor kecantikan, dia nekad mendalami bidang itu selepas menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUMCS).

Kini ibu kepada seorang cahaya mata itu mampu tersenyum bangga hasil keazamannya dengan mengasaskan Klinik Keluarga dan Kecantikan Dr Sophia Y di Alam Avenue, Shah Alam.

“Keluarga terutama ibu dan suami banyak menyokong dalam merealisasikan impian saya ini. Alhamdulillah ibu, Raja Ruziah menyokong pilihan saya sejak belajar di dalam bidang perubatan lagi.

“Masih banyak anggapan negatif masyarakat luar terhadap doktor kecantikan kerana bagi mereka bidang ini bukan bidang yang patut diambil serius dan tidak berbaloi untuk diceburi selepas belajar lebih lima tahun dalam bidang perubatan.

“Kebanyakan rakan doktor mendapat tentangan ibu bapa dan suami untuk meneruskan kerjaya dalam bidang ini. Alhamdulillah, keluarga saya sangat memahami dan menyokong pilihan saya,” katanya.

Ternyata pilihannya berbaloi kerana klinik kecantikannya semakin mendapat tempat di hati pesakit. Baginya, kepuasan pelanggan adalah pencapaian terbaik dan kepercayaan mereka terhadap rawatan yang ditawarkan di samping melihat perubahan positif dari segi dalaman dan luaran pesakit juga memberikan kepuasan buatnya.

Dengan merendah diri, wanita ini berkata pencapaiannya tidaklah seberapa dibandingkan dengan doktor estetik terkemuka lain, tapi dia akan sentiasa memberikan rawatan terbaik dan selamat untuk pesakitnya di samping sentiasa mempertingkatkan diri dengan ilmu berkaitan.

Kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya diiringi suka duka dan cabaran. Sudah semestinya Dr Sophia tidak terlepas daripada menempuh dugaan dan kesukaran ketika mula bertapak serta menempatkan nama dalam bidang itu.

“Memang perlu rajin membuat pemasaran dan hidup dengan moto pelanggan sentiasa betul dan kepuasan pesakit diutamakan. Biasalah akan ada satu dua pesakit yang tidak puas hati, kita semua manusia biasa tak dapat lari dengan kesilapan.

“Malah menjadi doktor estetik ini tidak terkecuali berdepan risiko disaman oleh pesakit. Ini kerana pesakit yang datang dalam keadaan sihat cuma mereka mahu mencantikkan diri, jadi kami perlu lebih berhati-hati.

“Persaingan dalam bidang ini juga tidak kurang hebatnya malah saya bukan saja perlu bersaing dengan doktor lain, tetapi juga dengan perunding kecantikan spa yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan. Saya sentiasa mengingati pesanan doktor estetik lain iaitu perlu fokus terhadap pelanggan bukan pesaing selain selalu ingat rezeki datangnya daripada Allah,” katanya.

Menyingkap pengalamannya dalam bidang perubatan sebelum ini, Dr Sophia yang menanti kelahiran cahaya mata kedua tahun depan berkata, sejak menjadi pelajar perubatan minatnya lebih tertumpu dalam bidang kecantikan dan dia berusaha mencari pendedahan dengan berjumpa dengan doktor estetik berpengalaman.

Katanya, dulu tidak banyak latihan dalam bidang berkenaan, namun sekarang banyak latihan yang disediakan untuk melengkapkan diri dalam bidang itu.

“Saya mula membuat latihan sejak 2012 sehingga sekarang untuk menambah ilmu dalam bidang kecantikan.

“Pada awal pembabitan dalam bidang ini, saya terlebih dulu menjalani latihan sebagai ‘houseman’ di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Ampang selam dua tahun.

“Selepas itu saya menyambung tugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Dungun, Terengganu dan menjawat jawatan sebagai doktor bius di Hospital Sungai Buloh, Selangor sebelum membuka klinik sendiri.

“Mula berjinak dengan bahagian estetik sejak tiga tahun lalu, saya berlatih membuat rawatan kepada ahli keluarga dan rakan rapat terlebih dulu. Selepas itu, saya menjalani latihan estetik selama enam bulan bersama seorang doktor estetik, Dr Aly Alias.

“Alhamdulillah, Dr Aly banyak mengajar dan membantu saya dalam bidang ini.

“Saya juga sudah mengambil Certificate of Aesthetic di bawah American Academy of Aesthetic Medicine (AAAM) dan sedang menjalani latihan program Medical Aesthetic Certification (MAC),” katanya.

Mengakhiri temu bual bersama wanita bercita-cita tinggi ini, dia mempunyai harapan besar agar Kementerian Kesihatan menjadikan bahagian estetik sebagai pakar dan bukan hanya sijil dan bidang diminati saja.

Tidak ketinggalan dia turut bercita-cita untuk mengembangkan lagi rawatan yang sedia ada dan jika ada rezeki dia ingin berkongsi ilmu estetik sebagai tenaga pe­ngajar bersama doktor lain dalam bidang itu selepas menamatkan program MAC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:36 AM