Antara yang ditahan penguat kuasa JAIM selepas didapati berdua-duan di dalam bilik bersama pasangan bukan muhrim. FOTO Zuhairi Zuber
Oleh Nur Saliawati Salberi


Melaka: Tiga pasangan kekasih ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam operasi bersepadu khas sempena cuti umum, awal pagi tadi.

Pasangan berkenaan ditahan kira-kira 2 pagi dalam operasi bersepadu JAIM bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di lima hotel bajet di Taman Melaka Baru, Taman Merdeka dan Batu Berendam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa JAIM Rahimin Bani berkata, operasi tiga jam bermula 11 malam hingga 3 pagi itu menyasarkan hotel bajet yang sering menjadi tumpuan pasangan bukan muhrim memadu kasih.

"Semua yang ditangkap membabitkan tiga lelaki dan wanita berusia antara 20 hingga 31 tahun, mereka ini ketika ditahan gagal menunjukkan dokumen sah sebagai pasangan suami isteri.

"Semasa serbuan dilakukan mereka didapati tinggal berdua-duan didalam bilik bersama pasangan bukan muhrim dan mendatangkan syak," katanya.

Katanya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 2:58 PM