NOR Atzala (kanan) menunjukkan antara hidangan cukup digemari di restorannya.
NOR Atzala (kanan) menunjukkan antara hidangan cukup digemari di restorannya.
PEKERJA sedang menyiapkan hidangan sushi yang dipesan pelanggan.
PEKERJA sedang menyiapkan hidangan sushi yang dipesan pelanggan.
PEMBUKAAN Restoran Umi Sushi memberikan kelainan dan pilihan makanan baru di Tanjung Malim.
PEMBUKAAN Restoran Umi Sushi memberikan kelainan dan pilihan makanan baru di Tanjung Malim.
Oleh Rosman Shamsudin

Makanan popular Jepun, sushi memang agak asing bagi penduduk tempatan terutama di pekan kecil seperti Tanjung Malim. Maklumlah, kebiasaannya hidangan seperti ini hanya popular di sesetengah bandar besar sahaja.

Namun, bagi pemilik Restoran Umi Sushi, Nor Atzala Isa, 42, perkara itu bukan suatu masalah, sebaliknya dilihat sebagai peluang untuk mengetengahkan menu berkenaan.

Terletak di Jalan U1, Taman Universiti, Tanjung Malim, cetusan idea dan hasil perbincangan dengan sahabatnya yang juga chef berpengalaman selama 25 tahun di luar negara khususnya dalam masakan Jepun memberi alternatif kepada penduduk di kawasan itu untuk mencuba makanan sushi yang lain daripada kebiasaan.

Menariknya, sebaik saja melangkah masuk ke Restoran Umi Sushi ini, ucapan selamat datang dalam bahasa Jepun oleh pekerjanya membuatkan pengunjung seperti berada di negara matahari terbit itu.

Menurut Nor Atzala, pada mulanya dia memang kurang yakin untuk membuka restoran makanan Jepun di pekan itu tetapi atas nasihat sahabatnya, dia meneruskan rancangan berkenaan dan akhirnya berbaloi kerana selalu dipenuhi pelanggan pelbagai bangsa.

Katanya, perkataan 'Umi' (pada nama restorannya) diambil daripada bahasa Jepun yang membawa maksud 'dasar laut' dan biasanya di negara berkenaan, restoran sushi mempunyai akuarium hidupan laut sebagai dekorasi restoran, sementara dia pula memilih lukisan dasar laut untuk menghiasi restoran memandangkan keluasannya agak terhad.

"Restoran ini menggunakan konsep Kaitan Sushi iaitu membawa maksud sushi bergerak yang mempunyai lebih 100 jenis sushi, sekali gus memberi peluang kepada pelanggan memilih ikut selera dan memesan lebih 100 jenis sushi yang terdapat di dalam buku pesanan menu.

"Sushi di sini dijamin halal yang mengikut cita rasa tempatan, terdiri daripada sushi mentah dan masak dengan harga yang jauh lebih rendah tetapi masih mengekalkan mutu sushi bertaraf antarabangsa serta yang terdapat di mana-mana restoran lima bintang atau hotel di negara ini," katanya.

Katanya, sushi yang paling popular dan mesti dicuba oleh pelanggan yang mengunjungi restoran ini ialah Fotomaki atau Crazy Roll yang menggunakan campuran pelbagai hidupan laut dan sayuran dengan rasa enak.

"Pembukaan restoran ini membuka peluang kepada penduduk tempatan mencuba makanan popular di negara Jepun itu dan memberi peluang pekerjaan kepada anak muda di daerah ini yang berminat menceburi perniagaan makanan sushi.

"Selain itu, mereka tidak perlu berasa was-was untuk menikmatinya kerana sushi dihidangkan di sini dijamin halal," katanya.

Restoran ini dibuka setiap hari seawal jam 11.30 pagi hingga 2.30 petang dan dibuka semula pada jam 5.30 petang hingga 10.30 malam.

Bagi yang ingin membuat tempahan berkumpulan dinasihatkan menghubungi pihak restoran terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:03 AM