NASI lemak bersama hirisan strawberi dihidangkan sepanjang hari.
AZIAN menyukai sajian nasi lemak.
Oleh Aniza Zainudin


Kafe ini didedikasikan istimewa buat pelajar yang mencari lokasi santai dan tenang untuk menyempurnakan tugasan bersesuaian dengan namanya, Karyabhara Cafe.

Karyabhara bererti ‘The Asignment’ (tugasan) diinspirasikan daripada bahasa Nepal memiliki keunikan identiti tersendiri dengan konsep dekorasi ala Barat vintaj.

Menurut pemiliknya, Mai Ehsan, konsep santai diperkenalkan Karyabhara Cafe dapat mewujudkan ikatan antara pengunjung terutama golongan muda dari kolej berdekatan.

“Kita melihat potensi pelanggan adalah mahasiswa yang suka menghabiskan masa bersama teman. Selain menjadikan kafe ini lokasi menjamu selera, mereka juga boleh melakukan perbincangan tugasan

dengan selesa.

“Karyabhara Cafe mempunyai dua tingkat yang mampu memuatkan kira-kira 100 pelanggan dalam satu-satu masa. Kita mengkhususkan tingkat dua bagi tujuan perjumpaan tertutup.

“Kafe ini juga menyediakan pentas terbuka kecil buat pengunjung yang berhasrat berkongsikan bakat mereka miliki,” katanya yang memulakan operasi sejak Februari lalu.

Menyajikan menu ala Barat, pilihan popular pengunjung Karyabhara adalah Seafood Oglio Olio, Seafood Carbonara, Fish & Chip dan K2 Beef Burger.

Dihidangkan panas dengan kurang minyak, Seafood Oglio Olia menjadi kegemaran pelanggan yang ingin menikmati pasta bawang putih kombinasi bersama lada hitam dan putih, selain dihiasi udang, sotong, lala dan kepah.

Sos buatan sendiri dihasilkan segar dari dapur, menjadi satu tarikan penggemar Seafood Carbonara.

Menariknya, pelanggan memiliki kebebasan untuk menentukan tahap kepedasan setiap hidangan.

Memahami kehendak dan permintaan berbeza antara pelanggan, kafe ini turut menyediakan variasi menu tanpa makanan laut bagi pelanggan yang mengalami alergik.

“Selain makanan Barat, hidangan popular Karyabhara adalah nasi lemak bersama hirisan buah strawberi.

“Menu ini disediakan bermula jam 11 pagi hingga 12 tengah malam. Resipi nasi lemak ini juga diilhamkan suami yang juga chef utama bagi Karyabhara Cafe,” cerita Mai.

Karyabhara Cafe juga menawarkan pelbagai jenis minuman kepada pelanggan dan paling popular adalah K2 Chocolate Latte Ice Blend, Caramel Latte, Strawberry Latte, tidak dilupakan Hazel Latte.

Azian suka nasi lemak hirisan strawberi

Dalam kunjungan pertama kali ke Karyabhara Cafe, penyanyi lagu Bukan Belas Bukan Simpati ini tertarik dengan konsep dan dekorasi unik ditonjolkan yang tampak santai serta selesa.

Menurut Azian Mazwan Sapuwan, konsep ala Barat gabungan elemen klasik mewujudkan kelainan ‘mood’ kepada pengunjung yang berhasrat menjamu selera mahupun menghabiskan masa bersama teman.

“Pandangan pertama, saya tidak menyangka ia milik pengusaha Melayu kerana keunikan dekorasi kafe malah pengunjung turut terdiri daripada orang luar. Saya tertarik dengan konsep kafe ini.

“Menu paling menarik perhatian saya adalah nasi lemak. Seperti nasi lemak tradisional, Karyabhara Cafe mencipta kelainan dengan meletakkan hirisan buah strawberi di atas nasi dan boleh dijadikan pemanis mulut.

“Meskipun menyajikan makanan ala Barat, rasa nasi lemak kafe ini sangat enak. Nasinya bersantan manakala sambalnya memiliki rasa pedas, manis dan sedikit masam,” katanya yang turut melakukan persembahan kepada pengunjung kafe berkenaan, baru-baru ini.

Berkongsi perjalanan seninya, Azian turut meluahkan rasa gembira apabila kembali beraksi di pentas Gegar Vaganza dan bertemu semula teman lain mahupun baru.

Memiliki kelompok peminat tersendiri, wanita bersuara lunak ini mengakui memiliki keinginan menghasilkan single mahupun album terbaru sebagai hadiah kepada penyokongnya serta memeriahkan industri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:01 AM